Wednesday, November 14, 2007

BAHASA MELAYU KE BAHASA MALAYSIA?

Lama juga saya tidak menulis di ruangan ini kerana urusan perniagaan di Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama saya mengambil kesempatan untuk bertemu dengan rakan-rakan lama di media untuk bertanya khabar selain menghadirkan diri di rumah terbuka rakan-rakan di sana.

Saya mengambil keputusan untuk bermalam di rumah seorang rakan yang tinggal di sebuah kondominium di Damansara. Rakan saya ini sudah berkahwin tetapi isterinya bekerja di utara tanah air. Dia saja yang akan berulang seminggu sekali untuk melihat keluarganya di Sg.Petani.

Melepak dengan kawan ini selain dapat menjimatkan perbelanjaan menyewa hotel, kita rasa terhibur apatah lagi saya sudah hampir dua tahun meninggalkan Kuala Lumpur sejak berhijrah ke kota metropolitan ini pada tahun 1990. Selepas dihantar ke pantai timur kerana tugasan saya terus memulakan perniagaan sendiri di Perak.

Rakan-rakan sering bertanya, tak mahu kembali ke Kuala Lumpur, jawapan saya TIDAK! Saya kata, cukuplah 15 tahun saya mengharungi kehidupan terkejar-kejar di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur memang menghiburkan tetapi di usia begini rasanya tidak lagi.

Sebut sahaja nama-nama pusat hiburan yang saya tidak pernah masuk. Mungkin ada juga di antara anda tidak pernah mengunjungi pusat-pusat hiburan terkenal ketika itu seperti Factory Disco, Eleven LA, Face 2, Base 2 dan banyak lagi sehinggalah kemunculan Zouk. Jadi dalam maksud lain zaman 'enjoy' sudah berakhir atau dah tak hairan dengan semua itu.

Sekali sekala tu boleh layan la tetapi kita mesti akui usia kita semakin meningkat. Tenaga pun dah tak berapa sangat. Kalau dulu apa jenis sukan selalunya mewakili sekolah, sekarang rasanya untuk bermain bola sepak tidak lagi walaupun saya pernah bermain untuk daerah.

Sewaktu di sana, saya terkejut apabila rakan-rakan lama mengajak untuk bermain go-kart. Mereka rupanya masih menyimpan dendam untuk menewaskan saya selepas dua tahun tahun meninggalkan mereka.

Mahu tidak mahu terpaksa melayan permintaan mereka untuk berentap di gelanggang go-kart di Shah Alam. Seperti biasa, saya hanya boleh bermula di petak belakang sekali. Pun begitu dengan restuNya, berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Mungkin agaknya sudah lama tidak exercise, tangan saya terseliuh. Kata orang kampung saya 'terpeleuk'. Pun begitu saya dipaksa untuk berlumba lagi sehingga menyebabkan tangan sebelah kiri tidak mampu diangkat.

Akhirnya saya ke klinik dan mendapat suntikan. Nasib baik kereta automatic gear kerana saya hanya mampu menggunakan sebelah tangan sahaja apabila memandu. Itulah juga antara faktor mengapa saya terpaksa menunggu lama untuk kembali menulis.

Sebenarnya waktu saya ke Kuala Lumpur tidak kena pada masanya. Kuala Lumpur ketika itu sesak dengan Penghimpunan Agung Umno dan juga pejuang Reformasi yang datang dari seluruh negara. Jadi perjalanan saya dari satu tempat ke tempat yang lain terganggu dengan kesesakan lalu lintas yang agak melampau. Pening kepala dan inilah faktor mengapa saya cukup benci tinggal di Kuala Lumpur.

Pelbagai cara rakan-rakan saya di Kuala Lumpur berfikir. Ada yang jenis suka berjenaka, ada yang suka pada sukan bola sepak EPL...apa lagi jika bukan penyokong MU, ada yang minat pada gosip, ada yang suka mengumpat dan ada yang suka cerita politik.

Seorang ini adalah bekas penulis ruangan politik. Kebiasaan bila berjumpa dengan saya dia akan bercerita mengenai politik. Kami berbicara mengenai cita-cita sesetengah pihak untuk menukarkan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.

Perlu atau tidak kita menukarnya? Baiklah saya mengajak anda untuk berfikir mengenai isu tersebut. Pertama adakah selama ini bahasa Melayu ini menjadi ancaman kepada perpaduan bangsa di negara ini. Itu yang penting kerana jika masyarakat di sesebuah negara tidak bersatu, negara akan musnah.

Bahasa Melayu sejak sekian lamanya sudah menjadi bahasa rasmi di negara ini. Memang ia bahasa orang Melayu tetapi cuba kita bandingkan dengan negara-negara luar. Negara China sendiri contohnya, tidak pernah mereka ingin menukar bahasa di negara tersebut kepada bahasa China sedang rakyatnya mempunyai pelbagai bahasa seperti bahasa ada bahasa mandarin, hokkien, wu, hakka dan bermacam-macam lagi.

Begitu juga orang Australia, Kanada dan Amerika bila ditanya apakah bahasa mereka, mereka tetap mengatakan 'English'. Ke mana sahaja negara-negara yang mereka tujui, pasti mereka akan bertanya 'do you speak English', tak pernah kita dengar 'do you speak American'.

Cuma yang membezakan antara Amerika, Austaralia dan Kanada dengan British ialah loghat sahaja. Begitu juga bahasa Melayu. Sepatutnya cukup kita bertanya kamu boleh cakap Melayu dan bukan kamu boleh bercakap bahasa Melayu.

Jika bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, apa jadi dengan bahasa Melayu yang dipakai oleh orang Brunei dan orang Melayu Singapura. Adakah mereka akan mengatakan bahasa Singapura atau bahasa Brunei.

Baik kita bertanya sendiri pula bahasa Melayu cara orang Kelantan, orang Perak, cara orang Kedah dan beberapa negeri lain. Mungkin orang Johor sahaja yang boleh dianggap menggunakan bahasa Malaysia. Hanya loghat sahaja yang membezakan antara kita, jadi di mana efisyen untuk pihak-pihak terbabit mencadangkan untuk mengubah bahasa Melayu atau cakap Melayu ini kepada bahasa Malaysia.

Cukup dalam pembejalaran kita, kita menggunakan subjek bahasa Malaysia sebagai terjemahan kepada pembelajaran bahasa Melayu. Kita lihat sahaja di Indonesia, kerajaan mereka cuba menekankan mengenai bahasa Indonesia atau bangsa Indonesia tetapi sehingga kini orangnya sendiri bila bertemu rakan senegara , 'itu orang Jawa Pak', itu orang Medan atau itu orang Bugis.

Sejarah tetap sejarah dan tidak boleh diubah. Sejarah memberitahu kita adalah serumpun Melayu. Melayu tetap Melayu dan janganlah cuba dihapuskan nama Melayu itu sendiri, cukuplah Kah Pengenalan kita sudah tidak tertera nama Melayu.

Bukan apa, nama anak-anak sekarang pun dah tak macam Melayu takut kita tak tahu bangsa apa la pula budak ini. Akhir kata kepada mereka yang bercita-cita untuk menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, jangan buang masa atau jangan jadi bodoh...banyak perkara lain yang patut difikirkan oleh mereka.

Saturday, November 3, 2007

'MAT SALIH' KATA MELAYU MALAS KEDAI CINA KOTOR

Baru-baru ini saya bertemu dengan dua lelaki 'mat saleh' Itali atas urusan perniagaan di sebuah restoran mewah mengadap pelabuhan Lumut. Seorang bernama Angelo dan seorang lagi bernama Maximas.

Kedua-dua atas urusan perbeza, seorang atas urusan kontrak dengan kerajaan dan seorang lagi ingin saya bersamanya membuka cawangan Restoran Cina di Lumut. Dalam pertemuan itu ia turut dihadiri ibu Maximas yang datang dari Itali untuk bercuti di sini.

Seperti biasa apabila bertemu dengan 'mat salih' untuk perbincangan perniagaan ia akan diselitkan hidangan makan malam. Saya dan adik yang turut serta dijamukan makanan rasmi mereka, apa lagi jika bukan Pizza. Pizza tersebut dimasak sendiri oleh Maximas. Begitu juga ais krim yang juga dibuatnya sendiri.

Jika saya katakan rasanya lebih sedap di Pizza Hut dan ais krim lebih sedap dari yang ada di negara ini, tentu anda mengatakan saya sengaja mengada-adakan cerita. Tetapi secara jujur saya terpaksa mengakuinya kerana sememangnya rasanya sedap. Lagi pun saya tauke restoran, tentu saya boleh menilai rasa makanan di restorannya yang akan dibuka pada pertengahan Disember ini di Lumut.

Angelo atau dalam bahasa Inggeris bermaksud angel, adalah seorang jurutera syarikat Kollmorgen di Itali. Dia adalah wakil syarikatnya di sini untuk memastikan peralatan dan pemasangan barangan milik syarikat untuk kapal-kapal tentera kita berjalan dengan sempurna.

Manakala Maximas pula walaupun kelahiran Itali tetapi telah tinggal di Australia selama 15 tahun. Dia belajar dan bekerja di sana sehinggalah mendirikan rumah tangga dengan warga negara New Zealand. Sayangnya jodoh tak lama selepas mempunyai dua cahaya mata mereka bercerai.

Di Australia Maximas bertugas sebagai peguam selama 12 tahun. Jadi bahasa Inggerisnya jauh lebih baik dari Angelo. Kadangkala kita sukar juga nak memahami apa yang dikatakan olehnya. Bagaimanapun ibu Maximas langsung tidak boleh berbahasa Inggeris.

Maximas bertemu Angelo secara kebetulan di Lumut sewaktu Angelo sedang mencari kedai menjual Pizza. Ketika itu di Lumut belum ada lagi kedai yang menjual Pizza (Pizza Hut), jadi mereka bertemu ketika masing-masing ingin mencari makanan tersebut.

Karektor 'mat saleh' ini memang berbeza-beza. Mereka pun macam orang kita juga, ada yang bercakap besar dan ada yang suka mengada-adakan cerita. Seperti seorang teman saya di Sweden, Mr Thomas, sewaktu di Malaysia bukan main lagi bercerita mengenai kehebatan Stockholm, Sweden. Tapi bila saya ke sana ibu negeri Sweden itu tidak sehebat kota London.

Cuma satu yang saya beritahu, rata-rata penduduk Stockholm mempunyai bentuk badan yang menarik. Ini kerana bentuk muka bumi bandaraya tersebut yang berbukit. 30% penduduknya pula berbasikal tanpa mengira status.

Di bandar tersebut di setiap jalan rayanya ia mempunyai lorong untuk penunggang basikal. Basikal adalah kenderaan kedua terpenting bagi penduduk di Stockholm. Selain itu mereka gemar berjalan kaki menuruni jalan yang berbukit. Sebab itulah pinggul gadis-gadis Sweden menarik untuk dilihat.

Berbalik kepada cerita dua 'mat saleh' Itali tadi, secara peribadi Angelo mempunyai perwatakan yang lebih menarik. Dia menghormati budaya kita. Maximas pula seorang yang suka berterus terang tetapi tidak pandai menjaga hati tetamu atau tuan rumah (negara kita).

Bagaimanapun kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mereka ingin terus menetap di Lumut. Hasrat Maximas mungkin tercapai kerana isterinya yang juga merupakan bekas Pegawai Kanan sebuah bank di Singapura merupakan anak tempatan. Manakala Angelo selepas bercerai masih menduda.

Kenapa pilih Lumut? Maximas memberitahu dia memilih Lumut kerana ketenangan dan lebih penting dia mampu memperolehi segala-galanya di sini. Dalam erti kata lain daerah Manjung ini mempunyai segala-gala terutama pemandangan lautnya yang indah.

"Suasana di sini cantik dan memberi saya ketenangan. Tanya ibu saya apabila saya membawa bercuti dan menginap di hotel Park Royal di Kuala Lumpur, saya terpaksa memendekkan cuti ke sana kerana dia ingin segera pulang ke Lumut. Kuala Lumpur boleh buat kami gila," jelas Angelo apabila ditanya mengapa dia tidak tinggal di Kuala Lumpur sahaja.

Kata-katanya saya menyakinkan saya sewaktu ke Eropah mahupun di Australia, rata-rata bila berbicara mengenai negara kita mereka cukup berminat untuk pergi ke Sabah. Maksudnya 'mat saleh' tak hairan dengan pembangunan di Kuala Lumpur.

Mungkin kerana mereka merasai negara mereka jauh lebih maju dari negara kita. Begitu juga Angelo memang cukup berminat untuk pergi ke Sabah. Saya kata tiada masalah kerana rumah mertua saya ada di Sabah. Malah mereka juga mempunyai chalet di Kundasang. Jadi jawapan saya kepada 'boleh ba'.

Selain itu kami bercerita mengenai pandangannya mengenai masyarakat di Malaysia. Soalan ini saya terpaksa bertanya kepada mereka untuk memastikan adakah mereka benar-benar kenal dengan masyarakat di sini untuk memastikan pilihan mereka untuk tinggal di Malaysia adalah tepat.

Maximas memulakan bicara kerana dia melihat Angelo agak berhati-hati dalam menyampaikan pendapat . Kata Maximas dia telah mempelajari mengenai budaya masyarakat Malaysia menerusi isterinya. Selain itu dia sendiri melihat menerusi sikap pekerjanya di Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Kata Maximas, bangsa Melayu di Malaysia agak malas berbanding dengan bangsa Cina. Orang Melayu lebih suka bercakap dari melakukannya. Orang Cina pula menurutnya apabila mencapai persetujuan dalam perbincangan dia akan melakukannya sehingga selesai.

Bagaimanapun katanya orang Melayu dilihat lebih berkhemah dalam berkata-kata dan dilihat lebih jujur dalam perniagaan. Tambahnya lagi dia melihat kebanyakan restoran Cina di negara ini agak kotor. Kata-kata ini dilafazkan dihadapan isterinya yang berbangsa Cina dan isterinya turut bersetuju dengan kata-kata suaminya.

Sebab itu dia amat tertarik dengan konsep restoran yang telah saya buka di pantai timur. Katanya sewajar restoran cina mempunyai konsep yang bersih untuk pelanggan lebih selesa menikmati makanan di restoran mereka.

Jadi menurut Maximas apabila kedainya dibuka nanti dia akan cuba menggunakan 100% tenaga keraja asing yang terdiri dari rakyat Bangladesh atau Filipina. Ini kerana dari maklum balas yang diterima olehnya, jika mengambil pekerja tempatan untuk bekerja di restoran, kita pasti akan menghadapi masalah.

Saya terima pendapat tersebut kerana saya juga mempunyai masalah yang serupa. Kadangkala pernah saya terpaksa bergegas ke restoran apabila kapten memberitahu tiada seorang pekerja pun yang datang pada hari tersebut.

Perkara ini berlaku apabila kita menegur disiplin mereka bekerja. Bila ditegur mereka kesemuanya berpakat untuk tidak datang bekerja. Pening kepala dibuat dan saya terpaksa bekerja dua orang bersama kapten di restoran (F&B) selama seminggu.

Ini kerana saya mengambil keputusan nekad untuk memberhentikan lapan pekerja saya sekaligus kerana tindakan yang dibuat oleh mereka. Jadi bila Maximas memberitahu masalah tersebut, saya sangat bersetuju dengannya walaupun dia mengutuk bangsa saya sendiri. Pun begitu Maximas memberitahu pendapatnya berdasarkan kepada majoriti orang Melayu dan bukan kesemuanya.

"Saya bercerita mengenai kebanyakkan mereka sahaja. Apapun saya memang suka negara ini kerana rasa lebih selamat dan senang untuk saya berniaga kerana kebanyakan masyarakat di negara ini boleh berbahasa Inggeris. Tidak seperti di Thailand dan Indonesia, sukar untuk saya tinggal di sana,"jelas Maximas.

Dua pengajaran yang boleh kita dapat dari cerita mereka tadi, kita mesti akur dengan komen orang di luar walaupun kita sendiri telah lama mengenali bangsa kita. Jadi faham-faham je la mengapa kita selalu tertinggal di belakang. Betul katanya dan ia mengingatkan saya kepada satu pepatah Inggeris, 'Well done is better than well said'.

Wednesday, October 31, 2007

ORI ATAU TAK ORI

Ori atau tak ori. Itulah kata-kata dari mulut anak-anak Melayu ketika ini. Maksudnya adakah barang tersebut tulen atau tiruan. Bila bercerita mengenai ori atau tidak, kadang-kadang ia membuatkan orang Melayu membazir tak tentu hala.

Banyak orang Melayu perasan nak jadi macam orang kaya. Memang di era ini, untuk jadi kaya lebih mudah dari 30 tahun dulu. Peluang perniagaan terbuka luas untuk orang-orang Melayu. Tapi yang malangnya kita yang makan gaji ni pun ramai nak jadi macam orang kaya.

Sewaktu saya bekerja dulu, suatu yang ketara mengenai anak-anak Melayu ialah ingin bergaya. Wartawan-wartawan saya dulu ramai juga yang memakai HP pelbagai jenama yang mahal-mahal. Pantang ada keluaran baru, mesti dibeli.

Gaji wartawan ditolak campur sekitar RM 2 ribu. Selain mempunyai HP, mereka juga masing-masing mempunyai kenderaan sendiri. Sekurang-kurangnya mereka akan menggunakan kereta Kancil. Tak macam saya dulu, pinjam motorsikal abang setahun lamanya. Lepas itu bila kenal orang rumah saya sekarang ni, (masa itu bercinta) kongsi duit beli kereta Kancil.

Cuma yang hairannya, anak buah saya sanggup memiliki HP yang mahal-mahal sedangkan General Manager kebanyakannya hanya menggunakan Nokia 3210, 3310 atau 3395. Malah salah seorang Pengarah saya yang bergaji RM 60 ribu sebulan pun sehingga kini masih menggunakan Nokia 3120.

Lagi satu cerita mengenai pakaian pula. Seorang rakan sekerja saya ini memang gila memakai pakaian berjenama. Pada suatu hari dia memberitahu saya seluarnya yang dipakainya berharga RM 300, kasut RM 500, baju 150, jam tangan RM 800 tetapi di dalamnya pula tidak dimaklumkan.

Tapi sayangnya walaupun dia memakai jenama yang hebat tetapi kerana wajah 'Melayu Pekat' itu ada pada dirinya, orang tak percaya yang harga pakaian di badannya bernilai seribu ringgit. Nak jadi cerita suatu hari Maya Karin datang ke pejabat untuk sesi bergambar. Dia singgah ke tempat saya untuk berbual seketika. Tak ada modal berborak saya pun memuji pakaian yang dipakai olehnya.

Katanya, T-shirt yang dipakainya berharga RM 15 dan seluar jeans tersebut hanya bernilai
RM 60 sahaja... 'Simple but look nice'. Disebabkan muka Maya Karin ini wajah-wajah mereka yang tinggal di Sri Hartamas, Damansara dan Bangsar, maka walaupun yang dipakainya tak sampai RM 100 tetapi dilihat seperti dia mengenakan pakaian yang mahal.

Saya tertarik untuk menyelitkan rancangan Oprah yang saya tonton baru-baru ini. Pada isu tersebut Oprah membicarakan bagaimana sesetengah orang termasuk selebriti dengan hanya bermodalkan sedikit wang tetapi mampu membuatkan dirinya jelita, rumah kelihatan cantik dan sebagainya.

Contohnya Sarah Jessica Parker pelakon Sex And The City memberitahu, dia pernah mengenakan pakaian yang nilainya tidak sampai USD 150 sewaktu menghadiri beberapa majlis seperti Oscar dan Academy Award. Walaupun berpakaian murah tetapi mendapat komen yang positif dari pengkritik.

Seorang pemain bola keranjang terkenal Amerika pula, Stephon Marbury telah melahirkan kasut berjenama Starbury yang harganya hanyalah USD 14.98. Katanya kasutnya itu sama 'standard' dengan kasut berharga USD 150 yang dgilai oleh ramai remaja di sana.

Kata Stephon, semasa usia di awal remaja dia terlalu teringin untuk memakai kasut suka seperti remaja-remaja yang lain. Bagaimanapun kehidupannya begitu susah ketika itu. Ibunya memberitahu jika dia terpaksa membeli kasut bernilai USD 150 untuk Stephon, wang tersebut boleh membeli barangan dapur mereka sekeluarga untuk tempoh sebulan.

Akhirnya jutawan bola keranjang ini mencipta kasut yang murah tetapi berkualiti, cantik dan bergaya bagi membantu anak-anak remaja yang hidup dalam keluarga yang susah untuk memiliki sepasang kasut.

Apa yang kita dapat dari cerita tadi, kalau hendak bergaya tak perlu membeli jenama yang mahal, cukuplah ia kelihatan cantik dan menarik. Bercerita tentang kasut, saya teringat seorang teman bertanya berapa harga kasut yang baru dibeli. Jawab saya RM 60, dia tak percaya tetapi bila saya maklumkan ia berjenama Bata, baru dia setuju dengan harga tersebut.

Melihat dari design kasut tersebut memang ia seperti jenama Bonia, Crocodile, Clarks dan lain-lain lagi. Pakai pun selesa jadi mengapa kita perlu beli yang berjenama. Tahukah anda kadangkala kasut berjenama tersebut sama sahaja 'standard' dengan kasut buatan Bata. Sebenarnya kita membayar harga yang mahal kerana jenamanya sahaja.

Macam kita kena teh tarik. Teh tarik di kedai mamak sememangnya lebih sedap daripada teh tarik di hotel. Di hotel teh tarik berharga RM 6.00-RM 8.00 segelas. Di kedai mamak baru RM 1.20 sen. Kenapa ia menjadi mahal, sebenarnya kita membayar harga yang mahal tersebut untuk suasananya sahaja.

Rasa teh tarik di hotel langsung tak sedap. Tapi nak nampak ada kelas, RM 6.00 pun jalan. Jadi kepada orang-orang Melayu sedar-sedarkan diri sikit. Bagi saya mudah sahaja, nak tunjuk kita kaya, ada orang lebih kaya daripada kita. Yang penting kita mesti ingat yang kaya itu tetap Allah.

Tuesday, October 30, 2007

TB SUDAH JADI HB

Jika isu yang lalu saya menulis mengenai penyakit TB (Takut Bini) di kalangan beberapa rakan saya di Manjung ini, ingatkan ia tak seteruk mana tetapi rupa-rupanya semakin parah. Penyakit TB mereka semakin kritikal dan kini dinamakan HB.

Apa dia HB? HB bermaksud 'Hamba Bini'...itulah gelaran yang saya dan seorang rakan saya gelarkan kepada mereka. Mana tidak jika sebelum ini dia mesti pulang sebelum jam 12.00 malam, terbaru dia maklumkan isterinya hanya benarkan keluar tiga kali sehari sahaja.

Jadi dia memilih dua hari untuk bermain badminton (Isnin & Rabu) dan seterusnya dia memilih hari Jumaat. Itupun dia tidak dibenarkan lagi untuk pulang lagi jam 12.00 malam. Aduhai kesiannya yang seorang ini.

Seorang lagi selepas bulan Ramadhan memang parah. Langsung tak boleh keluar malam langsung. Jadi jika dia ingin bertemu dengan saya, hanya boleh berbuat demikian pada waktu petang iaitu ketika dia mengambil peluang untuk ber'joging'. Itu sahaja waktu yang dibenarkan oleh isterinya.

Saya bertanya, isteri suruh duduk rumah buat apa, katanya nak *#@? tidak juga. Malah sering kali isterinya menolak sehingga adakalanya dia tumbuk dinding. Jadi tujuan isterinya hanyalah lebih ke arah untuk melihat kelibatnya sahaja di rumah. Katanya dia rimas tapi apa nak buat isterinya darah pahlawan.

Sedih pangkat besar dalam tentera tapi dekat rumah tewas. Bukan saya ingin mengketawakan mereka tetapi persoalannya apakah kita hendak terus membiar perlakuan isteri kita sebegini. Saya bukan tidak membantu, kadangkala saya memasak, kadang-kala pula menyidai baju dan adakalanya menjaga anak.

Bukan kita tidak boleh buat semua perkara itu tetapi dalam masa yang sama kebebasan untuk kita perlu ada. Apa guna kehidupan seperti ini, saya rasa lebih baik duduk di dalam penjara daripada duduk dalam sengsara di rumah yang sepatutnya menjadi syurga untuk kita tetapi rasa macam neraka.

Bila mereka bercerita kepada saya, nak simpati susah tetapi marah tu ada. Saya beritahu mereka syurga kita terletak di bawah kaki ibu, manakala isteri kita terletak pada kita. Punca seperti saya sebutkan sebelum ini kerana kita gagal menjinakkan isteri dari awal. Sepatutnya kalau dia garang, kita kena lagi garang.

Tengok perlakuan singa dalam rancangan National Geographic. Ketika sekumpulan singa betina mendapat mangsa habis di mamah binatang tersebut tetapi bila ada singa jantan mereka memberi jalan. Singa betina pun tahu hormat pada singa jantan.

Jadi kepada rakan tadi, saya tidak mampu membantu mereka walaupun mereka mengadu kepada saya. Bila melihat reaksi saya tidak langsung memberi ihsan kepada mereka, kini mereka hanya berani mengadu kepada rakan yang lain. Sebab kadangkala mulut saya ini celupar tambah kalau dah geram.

Saya bukanlah ahli perniagaan berjaya dan pernah ditipu beberapa kali. Saya juga tak layak untuk menceritakan tentang dunia perniagaan seperti Tan Sri Syed Mothar Al-Bukhairy tetapi apabila rakan bertanya macam nak berniaga, syarat utama yang saya letakkan, 'kalau takut bini jangan berniaga'.

Sebab pertama jika kita berniaga, masa kita tidak menentu. Tambahan pula perniagaan yang melibatkan kontrak kerajaan. Jumpa pegawai-pegawai kerajaan tiap-tiap malam. Kalau bini kita letakkan syarat bila waktu boleh keluar, alamat projek terlepas dekat tangan orang lain. Lagi satu bila kita berniaga, kita pasti akan lalui kesusahan. Adat berniaga memang macam itu, jadi mampukan isteri kita yang tahu hanya kesenangan sahaja seperti mengharap jatuh duit daripada langit ini menerimanya.

Kalau waktu senang pun dibaham suaminya, kalau waktu susah macamana? Silap-silap si suami kena cerai...baru padan muka. Jadi saya tidak mahu masuk campur kerana nanti ada yang marah seolah-olah saya nak buat reformasi untuk para suami. Sepatutnya kerajaan kita dah ada pusat aduan untuk suami kena dera. Kesian mereka-mereka itu...

Menurut rakan saya tadi, jika selepas ini mereka semakin parah, mereka akan penyakit mereka ini dinamakan HAB. Saya tanya penyakit apa pula tu...katanya 'Hamba Abdi Bini'...hahaha. Macam-macam lah.

Wednesday, October 24, 2007

ORANG KITA....ANTARA BOSNIA DAN SOMALIA

Benarkah orang kita (Melayu khasnya) mempunyai sifat simpati kepada sesama insan? Dulu bila kerajaan Malaysia menyediakan Tabung Rakyat Palestin, berjuta-juta ringgit dapat dihimpunkan.

Begitu juga tabung membantu rakyat Bosnia. Bukan sahaja bantuan dari segi kewangan dicurahkan tetapi ramai rakyat Bosnia dibawa ke sini samada diberi bantuan tempat tinggal atau mengambil mereka sebagai anak angkat.

Kadang-kadang terfikir, ikhlas atau tidak mereka berbuat demikian. Bukan saya cuba menidakkan kebaikan yang dilakukan tetapi mengapa bantuan itu hanya terpilih sahaja dan tidak kepada semua. Sepatutnya kita membantu kepada yang memerlukan tetapi di era seperti ada pilih kasih kepada siapa yang mereka ingin bantu.

Memang bantuan yang ingin disampaikan kita tiada hak untuk menentukan tetapi bila dilihat sikap orang kita, seperti ada sesuatu disebalik bantuan yang diberikan. Jadi saya menjadi hairan dan adakalanya merasakan bantuan mereka seperti 'menanam baja dan inginkan hasilnya pula'.

Memang kita sendiri simpati dengan apa yang berlaku kepada rakyat Bosnia apabila dibunuh dengan kejam oleh puak Serbia. Sebagai umat Islam sewajarnya kita mengambil tahu tentang nasib saudara kita nun jauh di sana. Sehinggakan begitu ramai keluarga di Malaysia sedia mengambil anak angkat di kalangan anak-anak Bosnia yang kehilangan ibu bapa akibat perang tersebut.

Tapi bagaimana pula dengan nasib rakyat Somalia. Mengapa tidak ada pun rakyat Malaysia yang menawarkan anak-anak orang Islam di sana sebagai anak angkat? Mungkin kerana warna kulit mereka yang agak gelap membuatkan rakyat di negara ini berasa segan untuk memiliki anak angkat dari negara tersebut.

Adakah selama ini kerana melihat anak 'mat saleh' yang 'cute' tersebut nmembuatkan mereka berebut-rebut untuk menerima sebagai ahli dalam keluarga masing-masing. Sehingga ada anak Bosnia yang sudah menjadi pelakon di sini.

Sedangkan dari segi agama, Allah tiada membezakan warna kulit, rupa mahupun kaya atau miskin untuk menghuni syurgaNya. Bukan nak kata pula, kalau Menteri atau orang berada tidak mahu berbuat demikian kita faham jenis mereka tetapi yang hairan tak ada pun Mufti, Ustaz, Imam Masjid dan para ulama yang ingin berbuat demikian. Malu beb...

Begitu juga sewaktu berlaku kes Tsunami suatu ketika dahulu. Sememangnya kita turut bersedih dengan apa yang menimpa umat Islam di Aceh. Sewajarnya kita turut membantu mereka tetapi bagi saya yang lebih penting nasib umat Islam di Malaysia juga mesti diberatkan dahulu.

Kasihan melihat umat islam di Kuala Muda, Kedah. Berapa lama mereka terpaksa menunggu bantuan kerajaan untuk membeli bot mereka? Berapa lama mereka terpaksa menumpang rumah sanak saudara kerana rumah mereka habis dimusnahkan ombak Tsunami?

Perlu diingat bantuan yang ikhlas tidak perlu dikormesialkan. Itu yang dituntut oleh agama. Lakukan dengan seikhlas-ikhlasnya dan kalau boleh bantuan itu biarlah antara kita dan Tuhan sahaja mengetahuinya. Mudah-mudahan bantuan kita itu akan diberkati dan menjadi bekalan untuk di akhirat kelak.

Tuesday, October 23, 2007

PENGAJARAN KEPADA KITA...ANTARA FERRARI & MC LAREN

Saya adalah peminat F1 nombor satu. Isteri saya sendiri tahu, jika ada F1 dia tidak boleh berbual malah dia mesti membawa anak tidur bersama. Ini kerana jika menonton F1, air Milo dan rokok tidak putus-putus berasap.

Saya akui, hobi bersukan lebih kepada aksi perlumbaan. Memang saya suka berlumba. Pernah abang menegur mengapa membeli kereta Perdana V6 dan tidak MPV sepertinya, saya terdiam tetapi dia sendiri sudah mengetahui jawapannya, saya pantang melihat kereta memecut laju sewaktu di lebuh raya.

Bagi saya, kereta Perdana V6 adalah antara kereta terbaik dalam persaingan di lebuh raya untuk katogeri kereta berkuasa 2.0. Daya pecutan enjinnya amat pantas. Saya pernah mencuba dengan kereta Camry dan Sonota milik rakan yang mempunyai kuasa enjin yang serupa, jelas mereka tertinggal empat tiang untuk jarak 5 km.

Tak cukup di jalan raya, setiap tahun apabila menjelang hari raya kesemua saudara mara akan berkumpul. Dari yang berusia 15 hingga 40 tahun. Kami akan bermain 'go-kart' di Seri Manjung dari jam 12.00 hingga 5.00 pagi. Percaya atau tidak adakalanya kami menghabiskan lebih seribu ringgit pada satu malam dan tradisi ini sudah berterusan selama enam tahun.

Tahun ini pretasi agak teruk. Dalam sembilan perlumbaan, hanya menang tiga kali. Memang diakui dari tahun ke tahun saudara mara saya semakin bijak memandu. Tidak seperti tahun pertama, 10 perlumbaan kesemuanya dimenangi. Cuma sedikit kecewa, apabila berlumba dalam perlumbaan tersebut, saya diminta untuk berlumba di kedudukan belakang sekali.

Ok berbalik mengenai isu F1, selepas era Michael Schumacher, isteri menganggap saya akan meninggalkan pasukan Ferrari. Tapi tidak mungkin, saya tidak akan terikut-ikut dengan keeadaan semasa. Sebab itulah saya adalah 'die hard fan' Liverpool sejak tahun 1980 lagi.

Sammy Lee, Kenny Daglish, Alan Hansen, Ray Clemence Ray Kennedy, Alan Kennedy, Grame Souness, Craig Johnston adalah antara nama pemain Liverpool yang saya masih ingat sehingga kini. Malah apabila berakhirnya era Liverpool semenjak diambil alih oleh pasukan MU pada tahun 1990, saya tetap bersama Liverpool.

Sebab itu saya meluat melihat penyokon MU sekarang ini. Masa zaman era 80 an dulu, tak nampak batang hidung penyokong MU. Malah seorang rakan yang hampir setiap minggu memakai baju MU, bila ditanya kenal tak pemain MU sekitar 80 an dulu....haram.

Saya pula maklumkan nama pemain MU, jika tak silap antara pemainnya MU ketika itu seperti Steve Coppel, Gary Bailey, Byran Robson, Norman Whiteside, Ray Wilkins, Steve Bruce dan beberapa nama lagi.

Kita kalau boleh nak jadi penyokong setia, kena pastikan kita benar-benar kenal siapa yang kita sokong. Macam kita nak berkahwin, kenal betul-betul isteri kita barulah kita boleh hidup bersama.

Bila Michael tiada sayalah paling sedih. Walaupun saya pernah benci dengan sikap Michael kerana aksi di Litar Monte Carlo apabila berperangai seperti kebudak-budakkan dengan membuat seolah-olah dirinya kemalangan untuk menghalang Alonso mengatasinya dalam sesi ujian masa.

Bila tiada Michael, perasaan confident kepada pasukan Ferrari sedikit gusar. Ini kerana ketika Kimi bersama McLaren, dia adalah pelumba yang sering mempunyai masalah dengan keretanya. Di awal musin apabila Kimi memenangi perlumbaan di Australia, sedikit ceria tetapi dalam masa yang sama terkejut dengan keupayaan Lewis Hamilton.

Selepas kemenangan Ferrari di Australia, tanda-tanda mereka terus menaiki podium semakin pudar. Satu demi satu, pasukan McLaren menguasai kedudukan 1-2. Tapi kerana peminat setia, saya sentiasa menaruh harapan. Pun begitu nampak seperti sukar Kimi untuk mengejar Hamilton disebabkan mata dalam FI berbeza dengan GP, di mana beza antara juara dan dan naib jura hanya perbezaan dua mata.

Hamilton pula mengingatkan saya kepada Schumacher, dia adalah pemandu yang sentiasa menaiki podium walaupun tidak menjuarainya. Jadi saya melihat situasi ini sedikit masalah untuk Kimi untuk mengejar Hamilton.

Bagaimanapun dengan menggunakan kereta Ferrari dan mempunyai pasukan yang penuh dengan tektikal, Kimi mempunyai kelebihan. Anda semua perlu ingat dalam perlumbaan FI, ia tidak bergantung sepenuhnya kepada pemandu tetapi dari semua aspek.

Selain daripada enjin, tektikal team dalam perlumbaan sangat penting. Cara pemilihan tayar, isipadu minyak yang sepatutnya diisi, siapakah yang patut memasuki pit terlebih dahulu adalah faktor kejayaan seseorang pelumba.

Schumacher sewaktu era Mika Haikonen dia tidak mampu menyangi kehebatan pelumba McLaren ini. Tetapi kerana faktor yang disebutkan tadi, Schumacher akhirnya memenangi perlumbaan.

McLaren pula pada tahun ini mempunyai kereta yang boleh bersaing dengan Ferrari. Lebih membantu mereka apabila mempunyai dua pemandu yang hebat. Tapi sayangnya pasukan ini tidak mempunyai 'teamwork' sepertimana pasukan Ferrari.

Ini diakui oleh Alonso sebaik sahaja berakhir kalendar FI 2007. Seorang juara dunia mengakui kekalahan pasukannya adalah kerana tiada kerja sama antara satu sama lain.

"Kami hilang semangat berpasukan dan keputusan yang dicatatkan cukup membuktikan kesemuanya. Apa yang diperkatakan oleh oleh bos kami selepas perlumbaan di China cukup menjelaskan tumpuan sebenar pasukan, strategi mereka lebih kepada menyekat saya dan bukan Kimi," jelas Alonso dalam satu sidang media.

Ini adalah contoh terbaik dalam kehidupan kita. Jika kita bekerja di dalam satu pasukan, jika saling ingin menjatuhkan seseorang kerana perasaan iri hati atas kelebihan orang lain, inilah padahnya.

Saya pernah menasihatkan rakan setugas, 'kamu kalau rasa sesuatu perkara yang betul katakan. Seelok dalam mesyuarat walaupun di kalangan orang atasan kita sukar menerima kritikan. Ia lebih elok daripada mengiyakan sedangkan kamu tahu perkara itu tidak betul. Jika kamu naik kerana membodek, percayalah akhirnya taik itu akan terkelur juga.'

Dulu saya mempunyai ketua yang kerjanya hanya mengeluarkan arahan 'u must do something' apabila jualan menurun. 'Something'...? Tapi selepas duduk di bawahnya selama hampir tiga tahun, saya sendiri pun tak tahu apa yang perlu saya lakukan. Akhirnya semuanya saya perlu lakukan sendiri samada dari segi pengisian, 'lay-out', event dan sebagainya.

Lalu saya menggelarkannya, '............you must do something' dan khabarnya nama itu melekat sehingga ke hari ini. Maafkan saya tetapi apa yang berlaku dalam sejarah terhebat F1 di mana buat pertama kalinya berlaku perebutan takhta di saat-saat akhir oleh tiga pelumba.

Sewajarnya kisah Lewis Hamilton dan Fernando Alonso ini dijadikan ikhtibar terbaik untuk kita yang bekerja makan gaji. Tidak dinafikan di mana-mana tempat kerja pun, politik tetap ada. Cuma kita kena lebih profesional. Jangan kerana ada generasi baru yang lebih baik daripada kita, kita tidak boleh menerima hakikat tersebut.

Sememangnya perasaan itu ada tetapi sekurang-kurangnya kita pula jangan memburuk-burukkan mereka. Saya tidak kata terlalu profesional sewaktu menjadi ketua dulu tetapi ketika itu saya lebih suka mendengar komen dan idea mereka.

Yang betul saya ambil dan disebabkan itu sewaktu saya menjadi ketua setiap minggu kami ada meeting setiap hari Isnin. Generasi baru ini mungkin ada idea yang tidak ada pada saya.

Bukan nak lepas geram tetapi pernah salah seorang ketua saya dulu memanggil saya dengan memberi gambaran seolah-olah saya gagal dalam tugasan sebagai Ketua Biro. Alasannya jualan akhbar di negeri saya ditugaskan kurang memberasangkan. Saya jelaskan ia kerana faktor penduduk negeri tersebut. Jualan akhbar menduduki nombor dua di antara semua akhbar di Malaysia, bukankah boleh dianggap baik.

Bila ditanya apa salah saya, dia sendiri tidak memberikan jawapannya. Lalu saya teringat, dia masih berdendam dengan saya kerana pernah menegurnya dalam satu 'meeting'. Kerana kita menegurnya sebab dia lebih berpangkat dari kita, dia menyimpan dendam. Aduhai Melayu 60an. Cukuplah tu sebab saya pun tidak berasa hati kerana bukan kali pertama berhadapan dengan ketua yang bersikap seperti dia.

Berbalik kepada soal F1 2007, perlumbaan tahun ini adalah yang paling diperkatakan oleh mana-mana penulis di seluruh dunia.

"FI 2007 menceritakan sikap buruk seseorang. Dua pelumbanya mempunyai kelebihan memenangi kejuraan tetapi pelumba ketiga pula yang berbuat demikian. Sifat ego memusnahkan harapan pemandu dan pasukan," ulas seorang pengarang akhbar Australia.

Nasihat juga kepada parti-parti politik tanah air, hampa nak bercakar pun kerana berbeza ideologi jangan sampai terjual maruah bangsa. Lihat parti MCA dan DAP walaupun mereka berbeza dari segi pendekatan politik tetapi mereka bersama dalam beberapa perkara.

Kita orang Melayu kerana berbeza pendapat politik, kadang-kala ada sekolah agama yang gurunya tidak menerima gaji. Tapi bangsa lain dapat taraf universiti dan dapat mengekalkan sekolah kebangsaan sendiri.

Kata Lim Kit Siang, "Walaupun DAP tidak menang atau menguasai politik tanah air tetapi apa yang diperjuangkan telah dilaksanakan oleh kerajaan."

Sunday, October 21, 2007

TAK MENANGIS LAGI...MANJUNG

Pada tahun 1980, ibu saya membawa kami adik beradik berpindah dari Kuala Kangsar ke Seri Manjung. Mendengar khabar tersebut saya adik beradik agak berdukacita kerana terpaksa meninggalkan pekan Kuala Kangsar.

Mungkin kerana sudah serasi dengan suasana di Bukit Chandan. Tinggal dikelilingi kerabat diraja, di mana rumah banglo nenek saya juga mengujakan. Setiap hari pula kami akan menjamu laksa Kuala Kangsar yang berharga 20 sen ketika itu.

Setiap petang seorang lelaki India akan menaiki basikal sambil membunyi hon, untuk memaklumkan kedatangannya. Saya dan adik beradik yang lain bergegas mengambil pinggan untuk diisi laksa Kuala yang berbeza dengan laksa di tempat lain.

Selain aktiviti makan laksa, kadangkala kami hanya berjalan kaki dari Bukit Chandan ke pekan Kuala Kangsar untuk bermain Taman Kanak-Kanak yang hanya berhadapan dengan Sg.Perak. Setiap tahun pula kami akan berbaris sambil mengibarkan bendera Perak sambil menunggu Tuanku (Sultan Idris) melintas dengan menaiki kereta Lange Rover.

Tiba-tiba ingin berpindah ke Sitiawan (pekan utama di daerah Manjung) sungguh menyedihkan. Jika di Kuala Kangsar, rasa lebih selesa kerana ibu turut mengajar di sekolah yang sama. Di Sitiawan kami di hantar ke sekolah A.C.S Sitiawan di mana buat pertama kalinya saya bercampur dengan pelajar berbangsa Cina dan Hindu.

27 tahun lamanya ibu sudah menetap di Seri Manjung. Saban tahun apabila saya mula berhijrah ke ibukota pada tahun 1990, saya melihat perubahan demi perubahan berlaku di Manjung. Jika dulu kami hanya ada Emporium & Oriental untuk membeli belah, kini sudah ada Giant di Manjung.

Jika di Lumut dulu hanya berbangga dengan jam tingginya, kini Lumut hebat dengan pembangunan, malah dikagumi ramai pelancong kerana reka bentuk bangunannya. Lumut berubah menjadi bandar moden.

Manakala Seri Manjung yang terletak di antara pekan Lumut dan Pekan Sitiawan terus maju apabila ia kini menjadi menjadi nadi pusat pentadbiran daerah. Di anggarkan penduduk Manjung bertambah mendadak apabila mencapai jumlah penduduk sekitar 350 ribu orang.

Jika dahulu bandar antara Sitiawan dan Lumut dikelilingi ladang getah, kini deretan kedai bersambung di antara bandar Seri Manjung dan Sitiawan yang jaraknya sekitar 3 km. Pada dasarnya penduduk Manjung separuh daripadanya adalah orang luar yang datang berhijrah ke sini.

Dianggar sekitar 50 ribu penduduk adalah bekas anggota Tentera laut Di Raja Malaysia. Saya masih ingat di era awal 80 an dahulu, hampir kebanyakan kereta-kereta di sekitar Bandar Seri Manjung mempunyai plat J (Johor). Mana tidaknya puluhan ribu anggota TLDM telah dihantar ke sini, di mana ia menjadi pengkalan utama Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia di negara ini.

Tarikan yang kuat membuatkan mereka yang pada awalnya berkhidmat di sini (kebanyakan berasal dari Johor) mengambil keputusan menetap terus untuk memulakan kehidupan baru di Manjung.

Akhirnya selepas merantau 17 tahun dan ditugaskan ke beberapa negeri, saya akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Seri Manjung. Walaupun saya kini menetap di Venice tetapi tiada bezanya dengan Seri Manjung. Sitiawan hingga ke Lumut tetap Manjung!

Baru-baru saya dalam perjalanan ke Taiping bersama keluarga singgah sebentar ke pekan Kuala Kangsar kerana terlalu mengidam laksa Kuala. Saya tiba di bandar Kuala lebih kurang jam 8.00 malam. Bandar yang tak kurang besar ini sunyi. Kesemua kedai menjual laksa tutup.

Hanya satu tempat Medan Selera sahaja yang dibuka. Yang lainnya seperti bandar ini tidak berpenghuni. Saya melihat kembali jam di tangan, jelas menunjukkan jam 8.00 malam tetapi malangnya tiada laksa Kuala. Geram betul...sebab teringin, tapi akhirnya selepas puas mencari saya berjumpa dengan sebuah gerai, alhamdulillah ada jual laksa. Empat pinggan saya jamah laksa Kuala.

Untuk pengetahuan anda, saya jika menjamah laksa Kuala hanya memakan laksa nya sahaja tanpa menghirup terlalu banyak kuah. Ini kerana kuah laksa Kuala agak cair. Ia tidak seperti laksa Penang yang dicampur dengan otak udang, nenas dan sebagainya.

Pernah saya membawa rakan saya dari Kuala Lumpur dalam perjalanan pulang dari 'out-station'. Saya paksa dia masuk ke susur keluar ke Kuala Kangsar dari Lebuh raya. Saya kata dia mesti cuba laksa Kuala. Mengamuk dia apabila selesai menjamah laksa tersebut. Katanya tak sedap langsung. Memang saya akui kepada mereka yang sudah terdidik dengan laksa Kuala Lumpur, memang takkan suka laksa Kuala. Jadi kepada kita yang pernah tinggal di Kuala Kangsar, tak perlu promosikan laksa tersebut kepada rakan-rakan kita dari luar.

Macam kitalah, bila dihidangkan laksa Kelantan, terkedu kita melihat kuahnya. Akhirnya di hati saya sewaktu perjalanan ke Taiping, ibu saya telah membuat keputusan yang tepat. Saya anggap ibu saya sama 'level' dengan Tun Dr Mahathir. Ada Wawasan. Dan pastinya saya tidak menangis lagi meninggalkan pekan Kuala Kangsar.

Saturday, October 20, 2007

RM 4 JUTA DALAM TEMPOH 4 HARI?

Saya tertarik untuk mengulas filem terbaru arahan Pro. Madya A. Razak Mohaideen, Otai yang dikatakan mencecah ke angka jualan tiket sebanyak RM 4 juta dalam tempoh 4 hari yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian yang saya baca menerusi on-line.

Bagi saya fakta tersebut mesti dirujuk kembali kepada pihak-pihak tertentu kerana jumlah itu terlalu banyak bagi jumlah panggung yang ada di Malaysia. Setahu saya apa yang dikhabarkan oleh David Teo mengenai jualan tiket, jika sesebuah filem meletup habis di seluruh panggung di negara ini, ia hanya mampu meraih ke angka RM 500 ribu sahaja dalam tempoh sehari tayangan.

'Rem-Pit' contohnya hanya mencecah ke angka RM 320 ribu sehari. 'Jangan Pandang Belakang' hanya mencecah sekitar RM 420 ribu sehari. Fakta ini apa yang pernah dikatakan oleh David Teo kepada saya suatu ketika dahulu. Apa kata David saya boleh mempercayainya kerana dia mempunyai 'team' khusus untuk mendapatkan angka jualan tiket sehari di seluruh negara.

Jika filem Otai mencecah RM 4 juta dalam tempoh empat hari, filem ini mampu meraih jualan tiket sebanyak RM 8 juta dalam tempoh 2 minggu tayangannya di pawagam. Jadi saya rasakan fakta ini mesti dibuat 'research' kembali. Cuba kira jumlah panggung yang ada di negara ini.

Kemudian mesti ingat jumlah tiket hanya dikira menerusi panggung yang menggunakan sistem komputer sahaja. Panggung 'can smoking' di bandar-bandar kecil, filem tersebut dibeli secara langsam. Cuba kira jumlah panggung yang menggunakan sistem komputer yang digunakan oleh Golden Screen Cinemas, TGV, Metrowealth, Lotus 5 Star, Mega Cineplex, Budimax Cinema, MBO Cinemas, Iswara Perdana, Star Cineplex dan beberapa nama lagi.

Ia terbahagi kepada beberapa negeri seperti Lembah Klang (27 pawagam), Pahang (1 pawagam) , Ipoh (2 pawagam), Taiping (1 pawagam), Sitiawan (1 pawagam), Pulau Pinang (10 pawagam), Kedah (3 pawagam), Seremban (3 pawagam), Melaka (3 pawagam), Batu Pahat (1 pawagam), Johor Bharu (9 pawagam) dan Sabah/Sarawak (10 pawagam). Kelantan dan di Terengganu tidak mempunyai panggung. Manakala jumlah di sini dijangka 30% daripadanya tidak mempunyai sistem berkomputer.

Jadi sila buat penyelidikan kembali adakah lojik kutipan tiket tersebut diperolehi. Jika anda benar maafkan saya (mungkin agaknya jumlah pawagam sudah bertambah), cuma saya menulis berdasarkan pengalaman bercampur dengan tauke panggung.

RAZAK MOHAIDEEN MESTI TERIMA PENDAPAT!

Saya mengenali Pro Madya A. Razak Mohaideen pada tahun 2001. Sejak perkenalan pertama, kami semakin akrab. Mungkin ketika itu saya memegang jawatan sebagai Pengarang Hiburan. Tapi apapun saya melihat dia ikhlas untuk berkawan dengan saya.

Bila agak lama kami berkenalan, saya mula mengenali hati budinya. Secara peribadi saya melihat Razak Mohaideen seorang yang suka membantu orang. Itu sifat terpuji yang ada padanya. Dia juga seorang gemar menikmati teh tarik di kedai mamak saban malam.

Ramai pelajar yang akrab dengannya, akan dibantu oleh Razak samada bekerja dengannya (dalam penerbitan filem) atau menjawat jawatan pensyarah dengan sokongan daripadanya. Apapun mungkin rezeki pelajar terbabit. Sikap suka menolongnya memang menjadi bualan antara saya dan bekas pelajar-pelajarnya.

Yang lucu mengenai Razak Mohaideen, anda tidak perlu belanjanya di hotel-hotel mewah atau restoran lima bintang kerana dia tetap mencari kedai mamak. Sehinggakan David Teo kadangkala terpaksa mengajak saya sahaja untuk menikmati makanan di hotel atau restoran mewah kerana dia tahu jika Razak menyertai jamuan tersebut, pasti diajaknya di restoran mamak.

Itu perkara lucu mengenai Razak Mohaideen. Selain rakan, dia juga adalah guru saya dalam penulisan skrip filem. Filem 'Bujang Senang' adalah skrip pertama saya yang diarahkan oleh Razak sendiri. Saya belajar dengannya hanya dengan menggunakan tisu. Di mana sewaktu kami menikmati teh tarik di Restoran Di Kayu (Taipan) USJ selepas solat tarawih, saya meminta Razak mengajarnya saya menulis skrip.

Hampir tiga jam lamanya Razak mengajar saya. Bermula dari situlah saya mula menulis. Apapun kerana tugasan saya yang begitu sibuk di pejabat, saya mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan skrip tersebut. 10 malam lamanya saya menginap di rumah Razak untuk menumpang komputer yang terletak di bilik bawah.

Saya menulis sehingga jam 3.00 pagi. Jika jalan cerita itu dirasakan perlu diubah, saya terpaksa lakukan sekali lagi. Begitulah kerja saya sehingga skrip tersebut siap. Kerana serik pengalaman tersebut, sehingga saat ini saya serik untuk menulis skrip lagi.

Akrabnya saya bersama Razak pernah suatu hari apabila isterinya out-station, saya dan seorang lagi pensyarah tidur di bilik utamanya. Kami berborak sehingga lewat pagi. Begitu mesra Razak dengan mereka yang akrab dengannya.

Namun disebalik itu ada sesuatu yang saya rasa ingin memberi teguran kepadanya walaupun Razak yang saya panggil dengan nama Prof adalah guru saya dalam penulisan skrip. Teguran ini saya rasa perlu kerana saya tidak mahu taat membabi buta walaupun kepada pimpinan tertinggi jika saya rasa perkara itu tidak betul.

Pernah juga sewaktu bekerja di surat khabar, saya pernah disindir oleh Ketua Pengarang kerana masing-masing mempertahankan pendapat mengenai lead story (muka depan) yang sewajarnya diletakkan. Saya tegur kerana saya rasakan perlu walaupun saya tidak layak untuk membuat teguran berdasarkan kepada kedudukan jawatan.

Tetapi kerana prinsip, saya mesti bersuara, bukan nak tunjuk pandai tetapi saya rasa demi untuk kebaikan. Pernah suatu ketika dahulu ketika kehangatan politik tanahair, saya dimarah oleh bapa mertua yang juga merupakan bekas Menteri Penuh Pusat kerana berlainan pendapat. Masa itu saya mungkin dianggap menantu derhaka.

Balik kepada cerita Razak, saya beranggapan Razak mesti bersifat terbuka walaupun filemnya setakat ini kesemuanya mencecah box-office. Bagi saya, teguran itu adakalanya ikhlas daripada penulis (pengkritik). Bukan semata-mata berhasad-dengki atas kejayaannya.

Akmal Abdullah , dulu wartawan dan kini Pengarang Hiburan di akhbar milik NST. Dia pernah memberitahu saya, 'aku kalau nak kritik filem dia ini banyak Norman, tapi nak buat macamana. Kalau ditegur karang melenting.'

Saya tidak hairan apabila akhbar menyiarkan cerita Razak melenting di satu forum kerana kritikan pedas dilemparkan kepadanya. Sebab saya pernah sekali mengkritik filemnya sewaktu proses editing filem 'Hingga Hujung Nyawa'.

Saya memberitahu Razak, watak Yusry sebagai bapa dengan memakai rambut palsu berwarna putih tu lucu. Jarang orang tua berambut agak panjang dan rambut itu pun nampak keras. Saya beritahu scene tersebut akan membuat penonton ketawa.' Razak terus menjawab, ' apa hang ingat tak ada orang tua rambut macam itu'.

Lalu saya diam dan David Teo membisu. David Teo pun tidak mampu berbuat apa dan scene tersebut terus ditayangkan di layar perak. Apa yang dibimbangkan jadi kenyataan. Scene tersebut membuatkan satu panggung ketawa walaupun scene tersebut menggambarkan Yusry sudah hampir mati.

Satu lagi peristiwa apabila dia memarahi wartawan saya yang juga bekas anak muridnya kerana menggelar Razak sebagai 'pengarah gudang'. Kejadian tersebut berlaku di satu majlis jamuan hari raya yang dianjurkan oleh syarikat. Wartawan saya malu dan David menghubungi saya melahirkan rasa kesalnya.

Sebenarnya idea menggelarkan dirinya sebagai pengarah gudang disampaikan oleh seorang pengarah dalam temu bual wartawan saya. Gelaran tersebut diberi kerana kekerapan Razak mengarah filem dalam setahun. Apapun Razak boleh menegur tetapi masa dan caranya tidak betul. Walaupun wartawan saya hanya memegang Ijazah tetapi sewajar sebagai seorang yang lebih bijak daripanya, Razak menegur secara diplomasi.

Berbalik kepada cerita mengenai filem 'Hingga Hujung Nyawa' tadi, selepas menonton filem tersebut, dapat dirumuskan adalah lebih baik Razak memfokuskan filemnya kepada gerne komedi. Walaupun bergelar ahli akademik tetapi untuk tujuan perniagaan adalah lebih baik tumpuannya ke arah gerne tersebut demi mengelakkan filem arahannya tidak mencapai box-office.

Namun kepada pengkritik beliau, perlu saya jelaskan sebagai ahli akademik Razak sebenarnya seorang yang bijak. Dia bijak kerana tahu apa yang diinginkan oleh penonton. Cuma ada beberapa perkara yang ingin Razak perbetulkan untuk dilihat dia sebagai ahli akademik yang perlu dihormati.

Seelok-eloknya beliau mengelakkan dari membuat filem yang streotaip, bertukar-tukarlah barisan pelakon di dalam filemnya. Sejak dulu Razak gemar menggunakan pelakon yang sama. Nama seperti Erra Faziara, Apek, Yasin, Fasha Sandha, Yusry dan beberapa nama lagi adalah nama yang terlalu kerap diguna oleh Razak.

Begitu juga filem berkonsepkan 'anak mami Penang', dah terlalu banyak dibuat oleh Razak. Sebagai ahli akademik yang mempunyai pelajar dari latar belakang dari pelbagai negeri seluruh negara, mungkin Razak perlu membuat filem yang mengenai kisah orang Perak, Kelantan dan sebagainya dengan loghat negeri masing-masing.

Saya sendiri mengharap agar Razak akan digelar 'very versatile director'. Saya harap Razak sendiri terbuka dengan teguran yang saya buat ini demi kebaikkan dirinya.Cukuplah pengajaran yang boleh diterima dari filem-filem Datuk Yusof Haslam. Penonton sudah malas menonton filem Datuk Yusof kerana jalan ceritanya hampir sama. Lebih melucukan gaya dialog pelakonnya hampir semua sama. Lokasi filemnya pula kalau pasangan sedang bercinta, mesti di taman bunga samada di Genting Higland atau Cameron Highland. Selain itu kereta besar, motosikal besar dan disko adalah antara yang perlu ada di dalam cerita Datuk Yusof.

Mungkin Datuk Yusof lupa di kampung-kampung juga banyak lokasi dan cerita menarik. Apapun kepada Prof Madya A. Razak Mohaideen, 'all the best' dan plz bikin filem yang lain pada yang lain.

Friday, October 19, 2007

SAKIT TB (TAKUT BINI), DEKATI KIAMAT?

Bila saya pulang ke kampung, di Perak untuk mengembangkan lagi perniagaan, saya amat kecewa dengan rakan-rakan di sini. Mereka adalah rakan-rakan persekolahan atau setaman yang telah 17 tahun kami tidak bersama. Jika sebelum ini kami berjumpa hanya sekali sekala...mungkin di hari raya.

Malangnya kini mereka sudah mengalami penyakit TB ataupun takut bini. Namun pastinya jika saya menulis mengenai isu ini pasti ada menentang.

Saya mempunyai sebab sendiri mengapa saya mempertahankan perlu lelaki bersikap seperti ketua keluarga. Kini penyakit TB semakin hari virusnya semakin merebak dan antara faktor dikesan

a) Sikap lelaki yang cuba memanjakan isteri di awal perkahwinan sehingga isteri merasakan diri boleh mengawal keluarga termasuk suaminya:
b) Suami yang bergantung kepada pendapatan isteri
c) Suami gagal mengambil kesempatan di atas kelemahan isteri untuk memperbetulkan kembali keadaan

Apapun dalam beberapa perkara saya bersetuju ada beberapa faktor lelaki mengalah kepada isteri mereka:
a) Tidak mahu berlaku perceraian kerana kasihankan anak
b) Malu kepada keluarga sendiri dan kawan-kawan
c) Malu pada jiran untuk meninggikan suara kepada isteri yang sudah melampau
d) Ingin suasana 'happy' di rumah lalu membiarkan si isteri membuat sesuka hati

Kata kawan yang menyokong teori saya, 'Tahu tak sesiapa yang takutkan bini bermakna ia mendekatkan dengan hari kiamat'. Saya tak tahu samada ia berdasarkan kepada hadis atau saja direka cipta untuk menakut-nakut atau memalukan rakan-rakan di kedai mamak.

Ada antara rakan saya yang kini umur sudah menjangkau hampir 40 tahun mesti pulang ke rumah sebelum jam 10.00 malam. Seorang lagi jam 12.00 malam. Pernah terjadi rakan saya yang berpangkat Sarjan sewaktu sedang berbual tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Muka berubah dan dia terus melihat jam di tangan.

Jam menunjukkan 12.03 malam, lalu dia terus minta beredar dengan keadaan tergesa-gesa. Rakan-rakan yang lain ketawa sampai mengalir air mata. Seorang lagi pula adalah mangsa yang paling teruk. Dia memang tak boleh langsung keluar menikmati teh tarik bersama rakan-rakan tetapi pada bulan Ramadhan lalu, barulah dia berkesempatan berbuat demikian.

Itu pun dia bersama kami dengan berpakaian 'uniform' berbaju Melayu segak dengan songkok tingginya. Dia terpaksa meninggalkan masjid selepas lapan rakaat semata-mata untuk turut bersama rakan-rakan yang mengerjakan tarawih dengan jumlah yang sama.

Waktu pulangnya apabila melihat jemaah masjid pulang beramai-ramai. Merasalah dia bersama kami selama lapan jam. Tapi saya katakan kepada rakan-rakan, ada lagi yang lebih teruk dari kes begini. Kes ini berlaku 10 tahun lalu sewaktu isteri saya bekerja di Celcom, Kajang.

Ketika dia bertugas di sana saya sering menjemputnya. Bagaimanapun kebiasaannya saya terpaksa menunggu hampir sejam sehingga tugasnya benar-benar selesai. Di kalangan staff di situ ada seorang lelaki yang cukup tampan. Wajah dan ketinggiannya , mungkin jika bertanding dia akan tewas sedikit kepada Dr Muzaffar.

Di sebalik kesempurnaan dirinya, menurut isteri saya lelaki ini mengalami tekanan perasaan yang melampau. Seperti seorang isteri yang derita disiksa suami. Mana tidaknya, jika mana-mana staff perempuan yang mengangkat telefon lelaki ini di pejabat, maka staff itu terpaksa bersoal jawab dulu dengan isterinya. 'Apa yang awak buat dekat meja suami saya, tahu tak suami saya dan ada tiga orang anak' dan bermacam-macam lagi.

Menurut lelaki ini apabila ditanya oleh rakan sekerja, isterinya memang kuat cemburu. Di rumah lagi dia tersiksa. Ceritanya, kebetulan di rumah dia berjiran dengan jiran bujang
perempuan, lagi isterinya tak senang duduk. Dia tidak dibenarkan mencuci kereta dan jika berbuat demikian dia dituduh cuba menggoda jiran mereka. Lebih menyiksakan, dia juga bila ingin tidur tidak boleh termenung, jika berbuat demikikan isterinya akan mengatakan dia sedang berkhayalkan dengan perempuan lain. Aduhai...

Prinsip saya mudah, kita berkahwin bukan untuk menyusahkan, jika dah sampai 'level' begini maksudnya kita memang sengaja mencari susah. Mahukah di sepanjang kehidupan kita jiwa menderita hanya kepada perempuan yang bergelar isteri.

Bukanlah maksudnya saya ini jenis 'Bat Man' tetapi sekali sekala untuk kita berbual apatah lagi apabila menceburi dunia perniagaan, kita ingin juga bertemu rakan-rakan untuk bertanya mengenai pendapat mengenai perniagaan atau sekurang-kurangnya menghiburkan hati.

Secara bergurau ada juga saya menegur mereka, bukankah ibu bapa kita juga dulu tak menghalang kita untuk sekali sekala keluar hingga lewat malam. Apakah dengan kehadiran yang bernama isteri kita terpaksa menuruti kata-kata mereka.

Dalam etika suami bertanggungjawab, ramai yang menuduh lelaki yang sering keluar adalah lelaki yang tidak bertanggungjawab. Betulkah begitu? Tahukah mereka dengan keluar bertemu rakan-rakan (ahli perniagaan) mereka lebih mudah untuk mendapatkan projek atau sebagainya.

Bila mereka bertanya begitu, kita pula bertanya kepada mereka apakah tanggungjawab mereka kepada keluarga. Untuk mengatakan suami tidak bertanggungjawab adalah seperti ciri-ciri seperti berikut

a) Keluar untuk bersosial dengan teman wanita
b) Keluar bersosial dengan rakan-rakan tanpa memperdulikan jika anak sakit atau barang dapur habis
c) Tidak memberikan nafkah batin
d) Marahkan isteri dengan memukul mereka tanpa ihsan seperti apabila isteri menyuruh mereka sembahyang dan sebagainya (untuk kebaikkan)

Menurut Ustaz saya dahulu, wanita ini mempunyai sifat tamak. Jika boleh kesemuanya ingin menjadi milik mereka. Katanya 'wanita ini jika diberi satu dunia dan jika ada dunia lagi satu, dunia itu juga ingin dimilikinya.'

Isteri kita ini kalau boleh mereka ingin sentiasa berada di celah ketiak kita. Mana boleh beb! Lelaki kalau dikawal begini, pantang 'out-station' dia buat jahat habis-habisan. Dia nak lepas geram. Lagi parah tetapi kerana sifat kurang bijak si isteri sebenarnya akan memakan diri mereka sendiri.

Jadi untuk menguruskan dengan baik rumahtangga kita, sifat ketegasan itu mesti ada. Kita mesti jadi lelaki sejati. Kita mesti berani menegur walaupun sehari dua dia akan bermasam muka dengan kita. Bukankah ada pepatah mengatakan, ' sayangkan isteri tinggal-tinggalkan'.

Apapun dengan perempuan ini kita kena pandai main psikologi. Dalam kepala kita mesti meletakkan mereka ini kurang bijak. Untuk menambat hati mereka, kita mesti membuat satu pengorbanan. Kita kenakan korban 'sesuatu' yang kita tak suka dia buat tapi dia buat.

Contohnya kita tak suka dia buat majlis perkahwinan anak dengan secara mewah. Tapi dia nak buat juga jadi terpaksalah kita biarkan dia buat itupun peruntukkan tersebut mesti melibatkan dia juga. Sebab dia nak buat sangat. Kita jangan halang.

Contohnya isteri saya selalunya hari minggu dia nak keluar pergi 'shopping complex' sewaktu kami tinggal di USJ. Selalunya saya biarkan dia pergi tanpa saya kerana kami sejak lapan tahun dulu sukar untuk membeli belah bersama. Setiap kali kami pergi bersama pasti akan bergaduh. Jadi isteri saya lebih berminat untuk pergi bersendirian atau dengan anak-anak. Sebenarnya ini adalah pilihan yang bijak demi untuk kebaikan bersama.

Bertolak ansur itu perlu tetapi dalam masa yang sama, kita jangan beri peluang untuk mereka mengatasi kita. Jika tidak kita mesti bulatkan hati hanya 'perpisahan' adalah jalan terbaik untuk kita mengembalikan maruah kita sebagai seorang lelaki tetapi perlu diingat bukan menindas isteri kita seperti kreateria yang disebutkan tadi.

Kadang-kadang kita pun rasa sakit hati dengan isteri kita. Bila kita bawa mereka berjalan ke sana sini, mereka seronok bila dapat tidur di hotel bertaraf lima bintang. Tetapi tidak pernah dia nak tahu betapa susahnya kita nak cari duit untuk bawa keluarga bercuti. Kalau bercuti RM 1 ribu mesti ada, jika tidak tidur rumah tumpangan sahaja.

Yang sakit hati, bila kita keluar malam-malam untuk dapatkan projek daripada pegawai tertentu, kebiasaannya ia adalah projek jangka panjang. Mungkin projek tersebut pembayarannya akan diterima lapan bulan selepas itu. Tetapi isteri kita, malam ini kita keluar esok dia ingat kita dah ada banyak duit.

Jadi rumusannya di sini, kita buat apa yang kita rasakan baik untuk keluarga kita. Kalau nak suruh isteri faham, memang mereka tak akan faham. Mereka seolah-olah ingat duit akan jatuh daripada langit. Jadi wahai kaum lelaki, jadilah seperti lelaki sebenar.

Tuesday, October 16, 2007

BEKERJAKAH MEREKA DI BAITULMAL

A'kum & Salam sejahtera

Kita baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kemeriahan tetap dirasai sepertimana tahun-tahun terdahulu. Setiap kali menjelang hari raya seperti pengganut Islam yang lain saya tidak lupa untuk menunaikan zakat.

Bila mengenangkan kisah zakat yang kita sumbangkan ini, sedih rasanya. Saya tunaikan kerana itu yang dituntut oleh agama. Saban tahun kita mendengar atau melihat di kaca tv mengenai kesusahan rakyat Malaysia. Setiap kali menontonnya hati saya memberontak, ke manakah duit zakat yang telah didermakan oleh puluhan rakyat di negara ini kepada pusat-pusat zakat negeri.

Pada saya yang agak jahil tentang agama, zakat ini diceritakan kisah sejarahnya adalah tabung membantu orang yang dalam kesusahan tidak kira orang Islam atau bukan. Cuma saya hairan hasil kutipan wang zakat tersebut adakah tidak cukup untuk kita membantu golongan miskin di negara ini.

Jadi soalan saya, bekerjakah mereka di Baitulmal tersebut? Sewajarnya mereka yang bekerja di Baitulmal ini menguruskan Baitulmal dengan kesungguhan atas daya usaha sendiri (proaktif) untuk mencari golongan yang dianggap miskin.

Pemahaman orang miskin ini bukanlah di mana rumah tersebut tidak mempunyai api, air dan janda sahaja tetapi mesti melihat golongan tersebut berpendapatan rendah dengan mengimbangi jumlah keluarga tersebut.

Ada cerita yang saya dengar kisah seorang janda yang telah hampir setahun kehilangan suami masih belum mendapat bantuan Baitulmal. Alasan bila diajukan kepada Baitulmal, janda ini tidak pernah mengisi borang untuk mendapatkan bantuan. Saya bersetuju jawapan tersebut tetapi kita mesti melihat dari pelbagai faktor yang membuatkan wanita tersebut gagal berbuat demikian.

Samada dia tidak tahu di mana pejabat Baitulmal atau tidak tahu menahu tentang apa yang patut dituntut. Kerajaan telah melantik JKKK di setiap kampung. Mungkin Baitulmal boleh menggunakan khidmat mereka untuk mendapatkan maklum balas mengenai nasib penduduk di setiap kampung.

Disebalik itu di sebuah kampung di Bota, seorang janda bila diajukan adakah dia mendapat bantuan, katanya dia ada menerima bantuan tersebut tetapi dia masih bekerja dengan bekerja di sebuah kedai makan untuk menyara 7 orang anaknya. Bila ditanya mengapa dia terus bekerja sedang anaknya yang paling kecil ketika itu baru berusia 2 tahun. Jawabnya dia hanya menerima bantuan RM 200 sebulan sahaja. Jadi untuk menampung keperluan mereka, si ibu ini tadi terpaksa bekerja di mana apabila dicampur pendapatan mereka hanyalah RM 550 sebulan. Dia terpaksa meninggalkan anak bongsu untuk dijaga oleh anak sulungnya yang berusia 15 tahun.

Baitulmal kena fikirkan nasib keluarga seperti ini. Lojik kah wang bantuan hanya diberikan hanya sekitar RM 200. Yang bekerja di sana itu sendiri wajar memikirkan mengenai diri sendiri. Untuk menyara seorang anak pun kita tidak mampu menyara mereka dengan wang sebanyak itu.

Lojik apabila dia mempuyai 8 orang anak sekurang-kurangnya pemberian RM 600 diperlukan untuk mereka meneruskan kehidupan dan bukan bersenang-lenang. Pegawai-pegawai yang berkhidmat tersebut mesti ingat, wang tersebut wang zakat yang wajib diagihkan kepada mereka yang betul-betul perlu.

Jangan hanya kerana bimbangkan jika ada media melaporkan tentang kesusahan masyarakat tersebut, mereka salurkan bantuan mengikut sesuka hati. Kadang-kadang rasanya nak ajak umat Islam seluruh Malaysia ini membuat pusat khidmat zakat sendiri yang diuruskan dengan cara terbaik.

Pelik dengan orang Baitulmal ni, sibuk sangatkan mereka itu. Jika berkira sangat tentang waktu bekerja contohnya nak masuk pukul 8.00 pagi dan balik 4.00 ptg, luangkan masa dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari untuk mendapat khabar mengenai penduduk kampung di sekitar daerah masing-masing.

Rajin-rajin bertanya khabar atau pergi ke beberapa rumah untuk bertanya tentang kesusahan jiran masing-masing. Mereka bekerja diamanahkan oleh umat Islam di negara ini, amanah untuk menyalurkan bantuan. Janganlah pula Kementerian Sharizat pula yang mengambil kerja-kerja orang dkt Baitulmal.

Bila masa nak mengambil zakat bukan main lagi, siap iklan di kaca tv. 'Sudahkah anda menunaikan zakat', tapi orang susah masih berleluasa. Bila 'time' nak kutip duit merata-rata orang pemungut zakat dengan pusat membeli-belah mengutip zakat, bila masa bantuan tak ada pula diletakkan pegawai-pegawai di pusat membeli belah untuk menghebahkan tentang apa yang masyarakat boleh minta dengan Baitulmal.

Contohnya, Baitulmal sebenarnya ada menyediakan khidmat peguam kepada mereka yang bergaji di bawah RM 1,500 untuk tuntutan fasakh, hadanah dan lain-lain lagi menerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM). Mengapa tak dihebohkan, hanya dihebohkan menerusi internet. Selalunya yang pakai internet ini mereka mampu mencari peguam sendiri tetapi orang di kampung manalah tahu, nak beli komputer pun tak mampu, macamana nak tahu khidmat peguam ada disediakan untuk mereka.

Apapun apa nak dihairankan sangat mengenai tentang mentaliti orang Melayu ini. Kerja untuk perut sendiri dan tak pernah rasa kasih mengenai nasib kesusahan orang lain. Malah takut mereka nak bantu orang miskin, mana tahu orang itu boleh jadi lebih kaya dari mereka. Tapi kalau orang luar tak apa, sebab mereka orang luar.

Kadangkala bila terbaca kisah ibu bapa yang memerlukan bantuan RM 50 ribu atau RM 100 untuk bantuan anak mereka bagi menjalani pembedahan jiwa saya jadi marah. Marah kerana apakah jumlah sekitar itu masih diperlukan bantuan kepada masyarakat Malaysia yang perlu membayar cukai pintu, cukai pendapatan, zakat, cukai kereta dan bermacam-macam lagi.

Takkan sampai dah masuk TV pun orang Baitulmal tak tahu tanggungjawab mereka. Pergilah dan tak perlu panggil media untuk buat coverage, pergi secara ikhlas lagi pun duit yang hendak disumbangkan bukan duit mereka, duit orang ramai. Pakai saja duit tu, tak ada siapa marah sebab tujuan bila kita memberikan zakat itu memang untuk beramal.

Lebih menyedihkan ada orang yang benar-benar memerlukan tak dapat bantuan tetapi rumah orang yang ada Astro boleh dapat. Ini lagi satu kisah yang tak perlu dihairankan dengan orang kita, contohnya bila tiba Hari Raya Korban. Saya memang pelik kerana kejadian itu berlaku di mana-mana sewaktu saya dihantar bertugas di beberapa buah negeri. Tahukah mereka daging-daging lembu yang dikorbankan itu matlamat utamanya untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Tapi yang penuh dekat masjid hampir semuanya orang berada. Yang datang naik kereta S Class pun datang tuntut daging lembu. Gunakan pengaruh pula minta bahagian kaki, dada dan sebagainya. Tak buruk perangai namanya.

Lagi buruk perangai sewaktu saya menjadi Ketua Biro di Terengganu. Saya telah mengarahkan wartawan saya untuk mencari golongan miskin di negeri tersebut. Habis wartawan saya dihambat oleh JKKK. Kata mereka kena jumpa mereka dulu, takut kalau disiarkan di dalam akhbar nanti orang kata mereka tak buat kerja.

Saya marah sungguh dengan JKKK seperti ini. Kata saya 'awak tak tolong dia, jadi niat saya ikhlas untuk mendapatkan bantuan untuk golongan ini'. Kalau awak buat kerja tak ada orang miskin di tempat awak'.

Kata-kata saya dibalas dengan pelbagai ugutan. Ini pun jenis manusia yang saya kurang faham prinsip hidup mereka. Amanah wang yang disalurkan kerajaan itu untuk mereka bekerja dan bukan bantuan itu diberikan kepada kroni. Tapi tak rasa bersalah langsung. Langsung tak takut dipersoalkan di akhirat esok, agaknya dia ingat dekat neraka esok ada pintu belakang untuk dia lari keluar.

Jadi teguran saya kepada Baitulmal ikhlas kerana sudah terlalu kecewa dengan mereka. Pengurusan mereka saya anggap terlalu lemah sehingga Baitulmal dilihat gah dengan hasil kutipan berjuta ringgit setiap tahu. Kalau itu yang dibanggakan oleh mereka memang peliklah saya.

Saturday, October 13, 2007

6.4 JUTA DAVID TEO BOLEH DICABAR

Bila pengusaha filem Metrowealth mencapai jualan tiket mencecah 6.4 juta menerusi filem 'Jangan Pandang Belakang', ramai yang berdengki dan ramai juga yang tidak mempercayai kata-kata dari tauke cina ini. Tak ramai yang mempercayai dengan jumlah kutipan tersebut.

Terus terang saya katakan, sewaktu saya menjadi editor hiburan suatu ketika dahulu, saya adalah teman terapat dengannya. Sampai Rosyam Nor kata muka saya pun dah macam muka David Teo. Rapat saya dengannya sehingga dalam beberapa perkara peribadinya juga saya adalah individu yang lebih mengetahuinya. Bayangkan ketika Metrowealth membawa Erra dan Yusry 'honeymoon', saya adalah satu-satunya pihak media yang mengikuti rombongan tersebut ke London dan Sweden.

Bila kami terlalu rapat, muncullah kata-kata kononnya saya makan rasuah dengan David. Mana tidaknya hampir saban malam kami akan keluar bersama. Saya jawab betul, dia rasuah saya minum teh tarik hari-hari. Kalau itu dikatakan rasuah...susahlah nak hidup dekat Malaysia ini. Apapun di sini biarlah saya menceritakan serba sedikit mengenai David Teo dan hasil kejayaannya. Bagaimanapun ia tidak terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum.

Pertemuan pertama kami bermula sewaktu David membuat filem 'Mendam Berahi' di kota Manila. Saya ketika itu masih bergelar wartawan. Masa itu saya tidak memfokuskan penulisan kepada dunia filem tetapi lebih kepada muzik. Bagaimanapun kerana saya wartawan paling kanan di situ, saya telah diarahkan oleh Emma untuk ke Filipina.

Terung terang saya katakan, saya sendiri tidak mengenali wajah David Teo sehinggalah saya tiba di Filipina bersama wartawan Utusan Malaysia dan Harian Metro. Sampai di sana, David terus memperkenalkan dirinya dan dia tanya saya, 'u tak kenal I'. Saya hanya mengelengkan kepala. Dia sedikit kecewa kerana wartawan Harian Metro dan Utusan ketika itu begitu mesra dengannya.

Pada suatu hari di dalam van, saya bertanya dia mengapa memilih Z.Lokman sebagai pengarah, dia kembali bertanya kepada saya ' u bagitahu saya siapa pengarah yang terbaik'. Lalu dia menjawab sendiri, 'bagi saya pengarah yang baik adalah pengarah yang dapat menjimatkan kos'. Maksudnya di sini David menceburi industri atas dasar perniagaan dan bukan seni.

Cuma prinsipnya saya hormati kerana dia kata, ' bila saya ceburi sesuatu bidang, saya takkan tengok ke belakang'. David memang seorang ahli perniagaan yang bijak dalam erti kata sebenarnya. PRnya belum ada mana-mana penerbit mampu melakukannya. Dia mampu keluar saban malam dengan wartawan untuk berborak. Nadanya ketika itu tidaklah sekuat sekarang kerana dia tahu dia masih baru tetapi David menghabiskan masa dan wang untuk belanja wartawan makan. Di situ dia berjaya membeli jiwa wartawan kerana dia pandai mengambil hati dengan berkongsi pengalaman dan ingin mendengar cerita daripada wartawan.

Dia mengajar saya mengapa dia memilih Z. Lokman sebagai pengarah. Katanya Z. Lokman buat filem kos sekitar RM 250 ribu sahaja atau paling tinggi RM 350 ribu tidak termasuk kos pemasaran.

Jumlah tersebut dikira kos penerbitan paling selamat kerana kemungkinan pihak pemilik VCD akan membeli lesen edaran filem tersebut dengan bayaran RM 150 ribu, stesen tv pula akan membeli dengan kos RM 100 ribu. Jadi dia hanya mengharap kutipan tiket mampu untuk mendapat keuntungan atau pun sekurang-kurangnya balik modal.

Bercerita mengenai filem 'Jangan Pandang Belakang', mengapa David Teo mampu berbuat demikian? Jawapannya sangat mudah, selain dibantu oleh jalan cerita dan promosi, faktor yang sebenarnya banyak terletak kerana David mempunyai rangkaian pawagam sendiri. Di negeri Kedah dan Sarawak dikuasai olehnya sendiri. Begitu juga di Kajang.

Jadi apabila dia melahirkan filem dan menyangkan di pawagam sendiri dia mempunyai 'advantage' untuk menayangkan filemnya lebih daripad filem luar yang turut bersaing dengannya. Perlu diingat filem wajib tayang hanyalah termaktub untuk filem tempatan sahaja tetapi filem barat terpulang kepada pemilik pawagam.

Di sinilah kelebihan David sehingga dia mampu mengalah kutipan filem Sembilu arahan Datuk Yusoff Haslam. Memang sukar untuk mengatasi kutipan tersebut dan bagi saya untuk menyalahkan David, kita tidak boleh kerana dia lebih bijak dari produser yang lain. Pemikirannya lebih 'advanced' walaupun ada produser Melayu sebenarnya mampu untuk memiliki pawagam sendiri.

Lihat seperti David, ketika pengarahnya menggunakan kereta E Class terbaru dia masih pakai E Class 200. Ketika ramai produser bina rumah banglo, David hanya tinggal di rumah kembar dua di Kajang. Hidupnya agak simple dari yang lain.

Hanya boleh dicabar kutipan tiketnya, hanya jika ada produser filem mampu memiliki pawagam sendiri. Contohnya ada beberapa bandar seperti Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kemaman dan Manjung berpontensi besar untuk membina panggung. Saya dapati di daerah Manjung adalah antara daerah yang begitu pesat membangun. Penduduknya kini sekitar 370 ribu tetapi panggung yang ada adalah berkonsepkan lama.

Anak-anak remaja sekarang gemar menonton wayang di Cineplex . Tak main lagi panggung wayang 'everyone can smoke'. Citarasa ini mesti kita ikuti, barulah kita boleh berjaya seperti David Teo. Bagi saya yang kini menceburi dunia perniagaan sepenuh masa, kejayaaan seseorang bukan dipandang dengan perasaan iri hati tetapi dilihat bagaimana dia boleh kita boleh.

Walaupun hubungan saya bersama David ketika ini agak dingin kerana kegagalan untuk kami bersama-sama membina Restoran Lemon miliknya tetapi saya meletakkan dia sebagai antara ikon dalam dunia perniagaan. Banyak ilmu dunia perniagaan ini yang saya pelajari daripadanya.
Bagi saya dengannya, kami boleh berkawan tetapi tidak boleh berkerjasama.

Jadi saya menolak pelawaannya untuk bersama-sama membina Restoran Lemon di mana saya sudah membina Restoran Cina di Kuala Terengganu. Saya lakukan demi menjaga hubungan dengannya.

Selepas ini saya akan menceritakan mengenai dunia industri seni tanahair kita selain beberapa isu yang lain. Jumpa lagi.

Wassalam, jumpa lagi.