Saturday, November 3, 2007

'MAT SALIH' KATA MELAYU MALAS KEDAI CINA KOTOR

Baru-baru ini saya bertemu dengan dua lelaki 'mat saleh' Itali atas urusan perniagaan di sebuah restoran mewah mengadap pelabuhan Lumut. Seorang bernama Angelo dan seorang lagi bernama Maximas.

Kedua-dua atas urusan perbeza, seorang atas urusan kontrak dengan kerajaan dan seorang lagi ingin saya bersamanya membuka cawangan Restoran Cina di Lumut. Dalam pertemuan itu ia turut dihadiri ibu Maximas yang datang dari Itali untuk bercuti di sini.

Seperti biasa apabila bertemu dengan 'mat salih' untuk perbincangan perniagaan ia akan diselitkan hidangan makan malam. Saya dan adik yang turut serta dijamukan makanan rasmi mereka, apa lagi jika bukan Pizza. Pizza tersebut dimasak sendiri oleh Maximas. Begitu juga ais krim yang juga dibuatnya sendiri.

Jika saya katakan rasanya lebih sedap di Pizza Hut dan ais krim lebih sedap dari yang ada di negara ini, tentu anda mengatakan saya sengaja mengada-adakan cerita. Tetapi secara jujur saya terpaksa mengakuinya kerana sememangnya rasanya sedap. Lagi pun saya tauke restoran, tentu saya boleh menilai rasa makanan di restorannya yang akan dibuka pada pertengahan Disember ini di Lumut.

Angelo atau dalam bahasa Inggeris bermaksud angel, adalah seorang jurutera syarikat Kollmorgen di Itali. Dia adalah wakil syarikatnya di sini untuk memastikan peralatan dan pemasangan barangan milik syarikat untuk kapal-kapal tentera kita berjalan dengan sempurna.

Manakala Maximas pula walaupun kelahiran Itali tetapi telah tinggal di Australia selama 15 tahun. Dia belajar dan bekerja di sana sehinggalah mendirikan rumah tangga dengan warga negara New Zealand. Sayangnya jodoh tak lama selepas mempunyai dua cahaya mata mereka bercerai.

Di Australia Maximas bertugas sebagai peguam selama 12 tahun. Jadi bahasa Inggerisnya jauh lebih baik dari Angelo. Kadangkala kita sukar juga nak memahami apa yang dikatakan olehnya. Bagaimanapun ibu Maximas langsung tidak boleh berbahasa Inggeris.

Maximas bertemu Angelo secara kebetulan di Lumut sewaktu Angelo sedang mencari kedai menjual Pizza. Ketika itu di Lumut belum ada lagi kedai yang menjual Pizza (Pizza Hut), jadi mereka bertemu ketika masing-masing ingin mencari makanan tersebut.

Karektor 'mat saleh' ini memang berbeza-beza. Mereka pun macam orang kita juga, ada yang bercakap besar dan ada yang suka mengada-adakan cerita. Seperti seorang teman saya di Sweden, Mr Thomas, sewaktu di Malaysia bukan main lagi bercerita mengenai kehebatan Stockholm, Sweden. Tapi bila saya ke sana ibu negeri Sweden itu tidak sehebat kota London.

Cuma satu yang saya beritahu, rata-rata penduduk Stockholm mempunyai bentuk badan yang menarik. Ini kerana bentuk muka bumi bandaraya tersebut yang berbukit. 30% penduduknya pula berbasikal tanpa mengira status.

Di bandar tersebut di setiap jalan rayanya ia mempunyai lorong untuk penunggang basikal. Basikal adalah kenderaan kedua terpenting bagi penduduk di Stockholm. Selain itu mereka gemar berjalan kaki menuruni jalan yang berbukit. Sebab itulah pinggul gadis-gadis Sweden menarik untuk dilihat.

Berbalik kepada cerita dua 'mat saleh' Itali tadi, secara peribadi Angelo mempunyai perwatakan yang lebih menarik. Dia menghormati budaya kita. Maximas pula seorang yang suka berterus terang tetapi tidak pandai menjaga hati tetamu atau tuan rumah (negara kita).

Bagaimanapun kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu mereka ingin terus menetap di Lumut. Hasrat Maximas mungkin tercapai kerana isterinya yang juga merupakan bekas Pegawai Kanan sebuah bank di Singapura merupakan anak tempatan. Manakala Angelo selepas bercerai masih menduda.

Kenapa pilih Lumut? Maximas memberitahu dia memilih Lumut kerana ketenangan dan lebih penting dia mampu memperolehi segala-galanya di sini. Dalam erti kata lain daerah Manjung ini mempunyai segala-gala terutama pemandangan lautnya yang indah.

"Suasana di sini cantik dan memberi saya ketenangan. Tanya ibu saya apabila saya membawa bercuti dan menginap di hotel Park Royal di Kuala Lumpur, saya terpaksa memendekkan cuti ke sana kerana dia ingin segera pulang ke Lumut. Kuala Lumpur boleh buat kami gila," jelas Angelo apabila ditanya mengapa dia tidak tinggal di Kuala Lumpur sahaja.

Kata-katanya saya menyakinkan saya sewaktu ke Eropah mahupun di Australia, rata-rata bila berbicara mengenai negara kita mereka cukup berminat untuk pergi ke Sabah. Maksudnya 'mat saleh' tak hairan dengan pembangunan di Kuala Lumpur.

Mungkin kerana mereka merasai negara mereka jauh lebih maju dari negara kita. Begitu juga Angelo memang cukup berminat untuk pergi ke Sabah. Saya kata tiada masalah kerana rumah mertua saya ada di Sabah. Malah mereka juga mempunyai chalet di Kundasang. Jadi jawapan saya kepada 'boleh ba'.

Selain itu kami bercerita mengenai pandangannya mengenai masyarakat di Malaysia. Soalan ini saya terpaksa bertanya kepada mereka untuk memastikan adakah mereka benar-benar kenal dengan masyarakat di sini untuk memastikan pilihan mereka untuk tinggal di Malaysia adalah tepat.

Maximas memulakan bicara kerana dia melihat Angelo agak berhati-hati dalam menyampaikan pendapat . Kata Maximas dia telah mempelajari mengenai budaya masyarakat Malaysia menerusi isterinya. Selain itu dia sendiri melihat menerusi sikap pekerjanya di Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Kata Maximas, bangsa Melayu di Malaysia agak malas berbanding dengan bangsa Cina. Orang Melayu lebih suka bercakap dari melakukannya. Orang Cina pula menurutnya apabila mencapai persetujuan dalam perbincangan dia akan melakukannya sehingga selesai.

Bagaimanapun katanya orang Melayu dilihat lebih berkhemah dalam berkata-kata dan dilihat lebih jujur dalam perniagaan. Tambahnya lagi dia melihat kebanyakan restoran Cina di negara ini agak kotor. Kata-kata ini dilafazkan dihadapan isterinya yang berbangsa Cina dan isterinya turut bersetuju dengan kata-kata suaminya.

Sebab itu dia amat tertarik dengan konsep restoran yang telah saya buka di pantai timur. Katanya sewajar restoran cina mempunyai konsep yang bersih untuk pelanggan lebih selesa menikmati makanan di restoran mereka.

Jadi menurut Maximas apabila kedainya dibuka nanti dia akan cuba menggunakan 100% tenaga keraja asing yang terdiri dari rakyat Bangladesh atau Filipina. Ini kerana dari maklum balas yang diterima olehnya, jika mengambil pekerja tempatan untuk bekerja di restoran, kita pasti akan menghadapi masalah.

Saya terima pendapat tersebut kerana saya juga mempunyai masalah yang serupa. Kadangkala pernah saya terpaksa bergegas ke restoran apabila kapten memberitahu tiada seorang pekerja pun yang datang pada hari tersebut.

Perkara ini berlaku apabila kita menegur disiplin mereka bekerja. Bila ditegur mereka kesemuanya berpakat untuk tidak datang bekerja. Pening kepala dibuat dan saya terpaksa bekerja dua orang bersama kapten di restoran (F&B) selama seminggu.

Ini kerana saya mengambil keputusan nekad untuk memberhentikan lapan pekerja saya sekaligus kerana tindakan yang dibuat oleh mereka. Jadi bila Maximas memberitahu masalah tersebut, saya sangat bersetuju dengannya walaupun dia mengutuk bangsa saya sendiri. Pun begitu Maximas memberitahu pendapatnya berdasarkan kepada majoriti orang Melayu dan bukan kesemuanya.

"Saya bercerita mengenai kebanyakkan mereka sahaja. Apapun saya memang suka negara ini kerana rasa lebih selamat dan senang untuk saya berniaga kerana kebanyakan masyarakat di negara ini boleh berbahasa Inggeris. Tidak seperti di Thailand dan Indonesia, sukar untuk saya tinggal di sana,"jelas Maximas.

Dua pengajaran yang boleh kita dapat dari cerita mereka tadi, kita mesti akur dengan komen orang di luar walaupun kita sendiri telah lama mengenali bangsa kita. Jadi faham-faham je la mengapa kita selalu tertinggal di belakang. Betul katanya dan ia mengingatkan saya kepada satu pepatah Inggeris, 'Well done is better than well said'.

No comments: