Ori atau tak ori. Itulah kata-kata dari mulut anak-anak Melayu ketika ini. Maksudnya adakah barang tersebut tulen atau tiruan. Bila bercerita mengenai ori atau tidak, kadang-kadang ia membuatkan orang Melayu membazir tak tentu hala.
Banyak orang Melayu perasan nak jadi macam orang kaya. Memang di era ini, untuk jadi kaya lebih mudah dari 30 tahun dulu. Peluang perniagaan terbuka luas untuk orang-orang Melayu. Tapi yang malangnya kita yang makan gaji ni pun ramai nak jadi macam orang kaya.
Sewaktu saya bekerja dulu, suatu yang ketara mengenai anak-anak Melayu ialah ingin bergaya. Wartawan-wartawan saya dulu ramai juga yang memakai HP pelbagai jenama yang mahal-mahal. Pantang ada keluaran baru, mesti dibeli.
Gaji wartawan ditolak campur sekitar RM 2 ribu. Selain mempunyai HP, mereka juga masing-masing mempunyai kenderaan sendiri. Sekurang-kurangnya mereka akan menggunakan kereta Kancil. Tak macam saya dulu, pinjam motorsikal abang setahun lamanya. Lepas itu bila kenal orang rumah saya sekarang ni, (masa itu bercinta) kongsi duit beli kereta Kancil.
Cuma yang hairannya, anak buah saya sanggup memiliki HP yang mahal-mahal sedangkan General Manager kebanyakannya hanya menggunakan Nokia 3210, 3310 atau 3395. Malah salah seorang Pengarah saya yang bergaji RM 60 ribu sebulan pun sehingga kini masih menggunakan Nokia 3120.
Lagi satu cerita mengenai pakaian pula. Seorang rakan sekerja saya ini memang gila memakai pakaian berjenama. Pada suatu hari dia memberitahu saya seluarnya yang dipakainya berharga RM 300, kasut RM 500, baju 150, jam tangan RM 800 tetapi di dalamnya pula tidak dimaklumkan.
Tapi sayangnya walaupun dia memakai jenama yang hebat tetapi kerana wajah 'Melayu Pekat' itu ada pada dirinya, orang tak percaya yang harga pakaian di badannya bernilai seribu ringgit. Nak jadi cerita suatu hari Maya Karin datang ke pejabat untuk sesi bergambar. Dia singgah ke tempat saya untuk berbual seketika. Tak ada modal berborak saya pun memuji pakaian yang dipakai olehnya.
Katanya, T-shirt yang dipakainya berharga RM 15 dan seluar jeans tersebut hanya bernilai
RM 60 sahaja... 'Simple but look nice'. Disebabkan muka Maya Karin ini wajah-wajah mereka yang tinggal di Sri Hartamas, Damansara dan Bangsar, maka walaupun yang dipakainya tak sampai RM 100 tetapi dilihat seperti dia mengenakan pakaian yang mahal.
Saya tertarik untuk menyelitkan rancangan Oprah yang saya tonton baru-baru ini. Pada isu tersebut Oprah membicarakan bagaimana sesetengah orang termasuk selebriti dengan hanya bermodalkan sedikit wang tetapi mampu membuatkan dirinya jelita, rumah kelihatan cantik dan sebagainya.
Contohnya Sarah Jessica Parker pelakon Sex And The City memberitahu, dia pernah mengenakan pakaian yang nilainya tidak sampai USD 150 sewaktu menghadiri beberapa majlis seperti Oscar dan Academy Award. Walaupun berpakaian murah tetapi mendapat komen yang positif dari pengkritik.
Seorang pemain bola keranjang terkenal Amerika pula, Stephon Marbury telah melahirkan kasut berjenama Starbury yang harganya hanyalah USD 14.98. Katanya kasutnya itu sama 'standard' dengan kasut berharga USD 150 yang dgilai oleh ramai remaja di sana.
Kata Stephon, semasa usia di awal remaja dia terlalu teringin untuk memakai kasut suka seperti remaja-remaja yang lain. Bagaimanapun kehidupannya begitu susah ketika itu. Ibunya memberitahu jika dia terpaksa membeli kasut bernilai USD 150 untuk Stephon, wang tersebut boleh membeli barangan dapur mereka sekeluarga untuk tempoh sebulan.
Akhirnya jutawan bola keranjang ini mencipta kasut yang murah tetapi berkualiti, cantik dan bergaya bagi membantu anak-anak remaja yang hidup dalam keluarga yang susah untuk memiliki sepasang kasut.
Apa yang kita dapat dari cerita tadi, kalau hendak bergaya tak perlu membeli jenama yang mahal, cukuplah ia kelihatan cantik dan menarik. Bercerita tentang kasut, saya teringat seorang teman bertanya berapa harga kasut yang baru dibeli. Jawab saya RM 60, dia tak percaya tetapi bila saya maklumkan ia berjenama Bata, baru dia setuju dengan harga tersebut.
Melihat dari design kasut tersebut memang ia seperti jenama Bonia, Crocodile, Clarks dan lain-lain lagi. Pakai pun selesa jadi mengapa kita perlu beli yang berjenama. Tahukah anda kadangkala kasut berjenama tersebut sama sahaja 'standard' dengan kasut buatan Bata. Sebenarnya kita membayar harga yang mahal kerana jenamanya sahaja.
Macam kita kena teh tarik. Teh tarik di kedai mamak sememangnya lebih sedap daripada teh tarik di hotel. Di hotel teh tarik berharga RM 6.00-RM 8.00 segelas. Di kedai mamak baru RM 1.20 sen. Kenapa ia menjadi mahal, sebenarnya kita membayar harga yang mahal tersebut untuk suasananya sahaja.
Rasa teh tarik di hotel langsung tak sedap. Tapi nak nampak ada kelas, RM 6.00 pun jalan. Jadi kepada orang-orang Melayu sedar-sedarkan diri sikit. Bagi saya mudah sahaja, nak tunjuk kita kaya, ada orang lebih kaya daripada kita. Yang penting kita mesti ingat yang kaya itu tetap Allah.
Wednesday, October 31, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

1 comment:
Lu tau tak kasut kahwin gua brand Bata? Itu pun Wan Chik yg belikan.. maklumlah, kahwin time student. siap sambung pakai buat pegi keje..
Anyway, Bata is a very well established brand in the world. Although the quality is not as excellent as other fancy shoes, but it serves the demand from low to high class people.
Luxury does not certainly come with comfort. But kebanyakannya memang la selesa. Ayah Chik ada beli satu kasut Camel, looks nice and quite an impressive brand. tapi sekali je pakai, lepas tu haram.. reason: tapak keras berdentung..serupa jalan tak pakai kasut....
Post a Comment