Tuesday, October 16, 2007

BEKERJAKAH MEREKA DI BAITULMAL

A'kum & Salam sejahtera

Kita baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kemeriahan tetap dirasai sepertimana tahun-tahun terdahulu. Setiap kali menjelang hari raya seperti pengganut Islam yang lain saya tidak lupa untuk menunaikan zakat.

Bila mengenangkan kisah zakat yang kita sumbangkan ini, sedih rasanya. Saya tunaikan kerana itu yang dituntut oleh agama. Saban tahun kita mendengar atau melihat di kaca tv mengenai kesusahan rakyat Malaysia. Setiap kali menontonnya hati saya memberontak, ke manakah duit zakat yang telah didermakan oleh puluhan rakyat di negara ini kepada pusat-pusat zakat negeri.

Pada saya yang agak jahil tentang agama, zakat ini diceritakan kisah sejarahnya adalah tabung membantu orang yang dalam kesusahan tidak kira orang Islam atau bukan. Cuma saya hairan hasil kutipan wang zakat tersebut adakah tidak cukup untuk kita membantu golongan miskin di negara ini.

Jadi soalan saya, bekerjakah mereka di Baitulmal tersebut? Sewajarnya mereka yang bekerja di Baitulmal ini menguruskan Baitulmal dengan kesungguhan atas daya usaha sendiri (proaktif) untuk mencari golongan yang dianggap miskin.

Pemahaman orang miskin ini bukanlah di mana rumah tersebut tidak mempunyai api, air dan janda sahaja tetapi mesti melihat golongan tersebut berpendapatan rendah dengan mengimbangi jumlah keluarga tersebut.

Ada cerita yang saya dengar kisah seorang janda yang telah hampir setahun kehilangan suami masih belum mendapat bantuan Baitulmal. Alasan bila diajukan kepada Baitulmal, janda ini tidak pernah mengisi borang untuk mendapatkan bantuan. Saya bersetuju jawapan tersebut tetapi kita mesti melihat dari pelbagai faktor yang membuatkan wanita tersebut gagal berbuat demikian.

Samada dia tidak tahu di mana pejabat Baitulmal atau tidak tahu menahu tentang apa yang patut dituntut. Kerajaan telah melantik JKKK di setiap kampung. Mungkin Baitulmal boleh menggunakan khidmat mereka untuk mendapatkan maklum balas mengenai nasib penduduk di setiap kampung.

Disebalik itu di sebuah kampung di Bota, seorang janda bila diajukan adakah dia mendapat bantuan, katanya dia ada menerima bantuan tersebut tetapi dia masih bekerja dengan bekerja di sebuah kedai makan untuk menyara 7 orang anaknya. Bila ditanya mengapa dia terus bekerja sedang anaknya yang paling kecil ketika itu baru berusia 2 tahun. Jawabnya dia hanya menerima bantuan RM 200 sebulan sahaja. Jadi untuk menampung keperluan mereka, si ibu ini tadi terpaksa bekerja di mana apabila dicampur pendapatan mereka hanyalah RM 550 sebulan. Dia terpaksa meninggalkan anak bongsu untuk dijaga oleh anak sulungnya yang berusia 15 tahun.

Baitulmal kena fikirkan nasib keluarga seperti ini. Lojik kah wang bantuan hanya diberikan hanya sekitar RM 200. Yang bekerja di sana itu sendiri wajar memikirkan mengenai diri sendiri. Untuk menyara seorang anak pun kita tidak mampu menyara mereka dengan wang sebanyak itu.

Lojik apabila dia mempuyai 8 orang anak sekurang-kurangnya pemberian RM 600 diperlukan untuk mereka meneruskan kehidupan dan bukan bersenang-lenang. Pegawai-pegawai yang berkhidmat tersebut mesti ingat, wang tersebut wang zakat yang wajib diagihkan kepada mereka yang betul-betul perlu.

Jangan hanya kerana bimbangkan jika ada media melaporkan tentang kesusahan masyarakat tersebut, mereka salurkan bantuan mengikut sesuka hati. Kadang-kadang rasanya nak ajak umat Islam seluruh Malaysia ini membuat pusat khidmat zakat sendiri yang diuruskan dengan cara terbaik.

Pelik dengan orang Baitulmal ni, sibuk sangatkan mereka itu. Jika berkira sangat tentang waktu bekerja contohnya nak masuk pukul 8.00 pagi dan balik 4.00 ptg, luangkan masa dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengahari untuk mendapat khabar mengenai penduduk kampung di sekitar daerah masing-masing.

Rajin-rajin bertanya khabar atau pergi ke beberapa rumah untuk bertanya tentang kesusahan jiran masing-masing. Mereka bekerja diamanahkan oleh umat Islam di negara ini, amanah untuk menyalurkan bantuan. Janganlah pula Kementerian Sharizat pula yang mengambil kerja-kerja orang dkt Baitulmal.

Bila masa nak mengambil zakat bukan main lagi, siap iklan di kaca tv. 'Sudahkah anda menunaikan zakat', tapi orang susah masih berleluasa. Bila 'time' nak kutip duit merata-rata orang pemungut zakat dengan pusat membeli-belah mengutip zakat, bila masa bantuan tak ada pula diletakkan pegawai-pegawai di pusat membeli belah untuk menghebahkan tentang apa yang masyarakat boleh minta dengan Baitulmal.

Contohnya, Baitulmal sebenarnya ada menyediakan khidmat peguam kepada mereka yang bergaji di bawah RM 1,500 untuk tuntutan fasakh, hadanah dan lain-lain lagi menerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM). Mengapa tak dihebohkan, hanya dihebohkan menerusi internet. Selalunya yang pakai internet ini mereka mampu mencari peguam sendiri tetapi orang di kampung manalah tahu, nak beli komputer pun tak mampu, macamana nak tahu khidmat peguam ada disediakan untuk mereka.

Apapun apa nak dihairankan sangat mengenai tentang mentaliti orang Melayu ini. Kerja untuk perut sendiri dan tak pernah rasa kasih mengenai nasib kesusahan orang lain. Malah takut mereka nak bantu orang miskin, mana tahu orang itu boleh jadi lebih kaya dari mereka. Tapi kalau orang luar tak apa, sebab mereka orang luar.

Kadangkala bila terbaca kisah ibu bapa yang memerlukan bantuan RM 50 ribu atau RM 100 untuk bantuan anak mereka bagi menjalani pembedahan jiwa saya jadi marah. Marah kerana apakah jumlah sekitar itu masih diperlukan bantuan kepada masyarakat Malaysia yang perlu membayar cukai pintu, cukai pendapatan, zakat, cukai kereta dan bermacam-macam lagi.

Takkan sampai dah masuk TV pun orang Baitulmal tak tahu tanggungjawab mereka. Pergilah dan tak perlu panggil media untuk buat coverage, pergi secara ikhlas lagi pun duit yang hendak disumbangkan bukan duit mereka, duit orang ramai. Pakai saja duit tu, tak ada siapa marah sebab tujuan bila kita memberikan zakat itu memang untuk beramal.

Lebih menyedihkan ada orang yang benar-benar memerlukan tak dapat bantuan tetapi rumah orang yang ada Astro boleh dapat. Ini lagi satu kisah yang tak perlu dihairankan dengan orang kita, contohnya bila tiba Hari Raya Korban. Saya memang pelik kerana kejadian itu berlaku di mana-mana sewaktu saya dihantar bertugas di beberapa buah negeri. Tahukah mereka daging-daging lembu yang dikorbankan itu matlamat utamanya untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Tapi yang penuh dekat masjid hampir semuanya orang berada. Yang datang naik kereta S Class pun datang tuntut daging lembu. Gunakan pengaruh pula minta bahagian kaki, dada dan sebagainya. Tak buruk perangai namanya.

Lagi buruk perangai sewaktu saya menjadi Ketua Biro di Terengganu. Saya telah mengarahkan wartawan saya untuk mencari golongan miskin di negeri tersebut. Habis wartawan saya dihambat oleh JKKK. Kata mereka kena jumpa mereka dulu, takut kalau disiarkan di dalam akhbar nanti orang kata mereka tak buat kerja.

Saya marah sungguh dengan JKKK seperti ini. Kata saya 'awak tak tolong dia, jadi niat saya ikhlas untuk mendapatkan bantuan untuk golongan ini'. Kalau awak buat kerja tak ada orang miskin di tempat awak'.

Kata-kata saya dibalas dengan pelbagai ugutan. Ini pun jenis manusia yang saya kurang faham prinsip hidup mereka. Amanah wang yang disalurkan kerajaan itu untuk mereka bekerja dan bukan bantuan itu diberikan kepada kroni. Tapi tak rasa bersalah langsung. Langsung tak takut dipersoalkan di akhirat esok, agaknya dia ingat dekat neraka esok ada pintu belakang untuk dia lari keluar.

Jadi teguran saya kepada Baitulmal ikhlas kerana sudah terlalu kecewa dengan mereka. Pengurusan mereka saya anggap terlalu lemah sehingga Baitulmal dilihat gah dengan hasil kutipan berjuta ringgit setiap tahu. Kalau itu yang dibanggakan oleh mereka memang peliklah saya.

No comments: