Saturday, October 20, 2007

RAZAK MOHAIDEEN MESTI TERIMA PENDAPAT!

Saya mengenali Pro Madya A. Razak Mohaideen pada tahun 2001. Sejak perkenalan pertama, kami semakin akrab. Mungkin ketika itu saya memegang jawatan sebagai Pengarang Hiburan. Tapi apapun saya melihat dia ikhlas untuk berkawan dengan saya.

Bila agak lama kami berkenalan, saya mula mengenali hati budinya. Secara peribadi saya melihat Razak Mohaideen seorang yang suka membantu orang. Itu sifat terpuji yang ada padanya. Dia juga seorang gemar menikmati teh tarik di kedai mamak saban malam.

Ramai pelajar yang akrab dengannya, akan dibantu oleh Razak samada bekerja dengannya (dalam penerbitan filem) atau menjawat jawatan pensyarah dengan sokongan daripadanya. Apapun mungkin rezeki pelajar terbabit. Sikap suka menolongnya memang menjadi bualan antara saya dan bekas pelajar-pelajarnya.

Yang lucu mengenai Razak Mohaideen, anda tidak perlu belanjanya di hotel-hotel mewah atau restoran lima bintang kerana dia tetap mencari kedai mamak. Sehinggakan David Teo kadangkala terpaksa mengajak saya sahaja untuk menikmati makanan di hotel atau restoran mewah kerana dia tahu jika Razak menyertai jamuan tersebut, pasti diajaknya di restoran mamak.

Itu perkara lucu mengenai Razak Mohaideen. Selain rakan, dia juga adalah guru saya dalam penulisan skrip filem. Filem 'Bujang Senang' adalah skrip pertama saya yang diarahkan oleh Razak sendiri. Saya belajar dengannya hanya dengan menggunakan tisu. Di mana sewaktu kami menikmati teh tarik di Restoran Di Kayu (Taipan) USJ selepas solat tarawih, saya meminta Razak mengajarnya saya menulis skrip.

Hampir tiga jam lamanya Razak mengajar saya. Bermula dari situlah saya mula menulis. Apapun kerana tugasan saya yang begitu sibuk di pejabat, saya mengambil masa selama empat bulan untuk menyiapkan skrip tersebut. 10 malam lamanya saya menginap di rumah Razak untuk menumpang komputer yang terletak di bilik bawah.

Saya menulis sehingga jam 3.00 pagi. Jika jalan cerita itu dirasakan perlu diubah, saya terpaksa lakukan sekali lagi. Begitulah kerja saya sehingga skrip tersebut siap. Kerana serik pengalaman tersebut, sehingga saat ini saya serik untuk menulis skrip lagi.

Akrabnya saya bersama Razak pernah suatu hari apabila isterinya out-station, saya dan seorang lagi pensyarah tidur di bilik utamanya. Kami berborak sehingga lewat pagi. Begitu mesra Razak dengan mereka yang akrab dengannya.

Namun disebalik itu ada sesuatu yang saya rasa ingin memberi teguran kepadanya walaupun Razak yang saya panggil dengan nama Prof adalah guru saya dalam penulisan skrip. Teguran ini saya rasa perlu kerana saya tidak mahu taat membabi buta walaupun kepada pimpinan tertinggi jika saya rasa perkara itu tidak betul.

Pernah juga sewaktu bekerja di surat khabar, saya pernah disindir oleh Ketua Pengarang kerana masing-masing mempertahankan pendapat mengenai lead story (muka depan) yang sewajarnya diletakkan. Saya tegur kerana saya rasakan perlu walaupun saya tidak layak untuk membuat teguran berdasarkan kepada kedudukan jawatan.

Tetapi kerana prinsip, saya mesti bersuara, bukan nak tunjuk pandai tetapi saya rasa demi untuk kebaikan. Pernah suatu ketika dahulu ketika kehangatan politik tanahair, saya dimarah oleh bapa mertua yang juga merupakan bekas Menteri Penuh Pusat kerana berlainan pendapat. Masa itu saya mungkin dianggap menantu derhaka.

Balik kepada cerita Razak, saya beranggapan Razak mesti bersifat terbuka walaupun filemnya setakat ini kesemuanya mencecah box-office. Bagi saya, teguran itu adakalanya ikhlas daripada penulis (pengkritik). Bukan semata-mata berhasad-dengki atas kejayaannya.

Akmal Abdullah , dulu wartawan dan kini Pengarang Hiburan di akhbar milik NST. Dia pernah memberitahu saya, 'aku kalau nak kritik filem dia ini banyak Norman, tapi nak buat macamana. Kalau ditegur karang melenting.'

Saya tidak hairan apabila akhbar menyiarkan cerita Razak melenting di satu forum kerana kritikan pedas dilemparkan kepadanya. Sebab saya pernah sekali mengkritik filemnya sewaktu proses editing filem 'Hingga Hujung Nyawa'.

Saya memberitahu Razak, watak Yusry sebagai bapa dengan memakai rambut palsu berwarna putih tu lucu. Jarang orang tua berambut agak panjang dan rambut itu pun nampak keras. Saya beritahu scene tersebut akan membuat penonton ketawa.' Razak terus menjawab, ' apa hang ingat tak ada orang tua rambut macam itu'.

Lalu saya diam dan David Teo membisu. David Teo pun tidak mampu berbuat apa dan scene tersebut terus ditayangkan di layar perak. Apa yang dibimbangkan jadi kenyataan. Scene tersebut membuatkan satu panggung ketawa walaupun scene tersebut menggambarkan Yusry sudah hampir mati.

Satu lagi peristiwa apabila dia memarahi wartawan saya yang juga bekas anak muridnya kerana menggelar Razak sebagai 'pengarah gudang'. Kejadian tersebut berlaku di satu majlis jamuan hari raya yang dianjurkan oleh syarikat. Wartawan saya malu dan David menghubungi saya melahirkan rasa kesalnya.

Sebenarnya idea menggelarkan dirinya sebagai pengarah gudang disampaikan oleh seorang pengarah dalam temu bual wartawan saya. Gelaran tersebut diberi kerana kekerapan Razak mengarah filem dalam setahun. Apapun Razak boleh menegur tetapi masa dan caranya tidak betul. Walaupun wartawan saya hanya memegang Ijazah tetapi sewajar sebagai seorang yang lebih bijak daripanya, Razak menegur secara diplomasi.

Berbalik kepada cerita mengenai filem 'Hingga Hujung Nyawa' tadi, selepas menonton filem tersebut, dapat dirumuskan adalah lebih baik Razak memfokuskan filemnya kepada gerne komedi. Walaupun bergelar ahli akademik tetapi untuk tujuan perniagaan adalah lebih baik tumpuannya ke arah gerne tersebut demi mengelakkan filem arahannya tidak mencapai box-office.

Namun kepada pengkritik beliau, perlu saya jelaskan sebagai ahli akademik Razak sebenarnya seorang yang bijak. Dia bijak kerana tahu apa yang diinginkan oleh penonton. Cuma ada beberapa perkara yang ingin Razak perbetulkan untuk dilihat dia sebagai ahli akademik yang perlu dihormati.

Seelok-eloknya beliau mengelakkan dari membuat filem yang streotaip, bertukar-tukarlah barisan pelakon di dalam filemnya. Sejak dulu Razak gemar menggunakan pelakon yang sama. Nama seperti Erra Faziara, Apek, Yasin, Fasha Sandha, Yusry dan beberapa nama lagi adalah nama yang terlalu kerap diguna oleh Razak.

Begitu juga filem berkonsepkan 'anak mami Penang', dah terlalu banyak dibuat oleh Razak. Sebagai ahli akademik yang mempunyai pelajar dari latar belakang dari pelbagai negeri seluruh negara, mungkin Razak perlu membuat filem yang mengenai kisah orang Perak, Kelantan dan sebagainya dengan loghat negeri masing-masing.

Saya sendiri mengharap agar Razak akan digelar 'very versatile director'. Saya harap Razak sendiri terbuka dengan teguran yang saya buat ini demi kebaikkan dirinya.Cukuplah pengajaran yang boleh diterima dari filem-filem Datuk Yusof Haslam. Penonton sudah malas menonton filem Datuk Yusof kerana jalan ceritanya hampir sama. Lebih melucukan gaya dialog pelakonnya hampir semua sama. Lokasi filemnya pula kalau pasangan sedang bercinta, mesti di taman bunga samada di Genting Higland atau Cameron Highland. Selain itu kereta besar, motosikal besar dan disko adalah antara yang perlu ada di dalam cerita Datuk Yusof.

Mungkin Datuk Yusof lupa di kampung-kampung juga banyak lokasi dan cerita menarik. Apapun kepada Prof Madya A. Razak Mohaideen, 'all the best' dan plz bikin filem yang lain pada yang lain.

No comments: