Bila saya pulang ke kampung, di Perak untuk mengembangkan lagi perniagaan, saya amat kecewa dengan rakan-rakan di sini. Mereka adalah rakan-rakan persekolahan atau setaman yang telah 17 tahun kami tidak bersama. Jika sebelum ini kami berjumpa hanya sekali sekala...mungkin di hari raya.
Malangnya kini mereka sudah mengalami penyakit TB ataupun takut bini. Namun pastinya jika saya menulis mengenai isu ini pasti ada menentang.
Saya mempunyai sebab sendiri mengapa saya mempertahankan perlu lelaki bersikap seperti ketua keluarga. Kini penyakit TB semakin hari virusnya semakin merebak dan antara faktor dikesan
a) Sikap lelaki yang cuba memanjakan isteri di awal perkahwinan sehingga isteri merasakan diri boleh mengawal keluarga termasuk suaminya:
b) Suami yang bergantung kepada pendapatan isteri
c) Suami gagal mengambil kesempatan di atas kelemahan isteri untuk memperbetulkan kembali keadaan
Apapun dalam beberapa perkara saya bersetuju ada beberapa faktor lelaki mengalah kepada isteri mereka:
a) Tidak mahu berlaku perceraian kerana kasihankan anak
b) Malu kepada keluarga sendiri dan kawan-kawan
c) Malu pada jiran untuk meninggikan suara kepada isteri yang sudah melampau
d) Ingin suasana 'happy' di rumah lalu membiarkan si isteri membuat sesuka hati
Kata kawan yang menyokong teori saya, 'Tahu tak sesiapa yang takutkan bini bermakna ia mendekatkan dengan hari kiamat'. Saya tak tahu samada ia berdasarkan kepada hadis atau saja direka cipta untuk menakut-nakut atau memalukan rakan-rakan di kedai mamak.
Ada antara rakan saya yang kini umur sudah menjangkau hampir 40 tahun mesti pulang ke rumah sebelum jam 10.00 malam. Seorang lagi jam 12.00 malam. Pernah terjadi rakan saya yang berpangkat Sarjan sewaktu sedang berbual tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Muka berubah dan dia terus melihat jam di tangan.
Jam menunjukkan 12.03 malam, lalu dia terus minta beredar dengan keadaan tergesa-gesa. Rakan-rakan yang lain ketawa sampai mengalir air mata. Seorang lagi pula adalah mangsa yang paling teruk. Dia memang tak boleh langsung keluar menikmati teh tarik bersama rakan-rakan tetapi pada bulan Ramadhan lalu, barulah dia berkesempatan berbuat demikian.
Itu pun dia bersama kami dengan berpakaian 'uniform' berbaju Melayu segak dengan songkok tingginya. Dia terpaksa meninggalkan masjid selepas lapan rakaat semata-mata untuk turut bersama rakan-rakan yang mengerjakan tarawih dengan jumlah yang sama.
Waktu pulangnya apabila melihat jemaah masjid pulang beramai-ramai. Merasalah dia bersama kami selama lapan jam. Tapi saya katakan kepada rakan-rakan, ada lagi yang lebih teruk dari kes begini. Kes ini berlaku 10 tahun lalu sewaktu isteri saya bekerja di Celcom, Kajang.
Ketika dia bertugas di sana saya sering menjemputnya. Bagaimanapun kebiasaannya saya terpaksa menunggu hampir sejam sehingga tugasnya benar-benar selesai. Di kalangan staff di situ ada seorang lelaki yang cukup tampan. Wajah dan ketinggiannya , mungkin jika bertanding dia akan tewas sedikit kepada Dr Muzaffar.
Di sebalik kesempurnaan dirinya, menurut isteri saya lelaki ini mengalami tekanan perasaan yang melampau. Seperti seorang isteri yang derita disiksa suami. Mana tidaknya, jika mana-mana staff perempuan yang mengangkat telefon lelaki ini di pejabat, maka staff itu terpaksa bersoal jawab dulu dengan isterinya. 'Apa yang awak buat dekat meja suami saya, tahu tak suami saya dan ada tiga orang anak' dan bermacam-macam lagi.
Menurut lelaki ini apabila ditanya oleh rakan sekerja, isterinya memang kuat cemburu. Di rumah lagi dia tersiksa. Ceritanya, kebetulan di rumah dia berjiran dengan jiran bujang
perempuan, lagi isterinya tak senang duduk. Dia tidak dibenarkan mencuci kereta dan jika berbuat demikian dia dituduh cuba menggoda jiran mereka. Lebih menyiksakan, dia juga bila ingin tidur tidak boleh termenung, jika berbuat demikikan isterinya akan mengatakan dia sedang berkhayalkan dengan perempuan lain. Aduhai...
Prinsip saya mudah, kita berkahwin bukan untuk menyusahkan, jika dah sampai 'level' begini maksudnya kita memang sengaja mencari susah. Mahukah di sepanjang kehidupan kita jiwa menderita hanya kepada perempuan yang bergelar isteri.
Bukanlah maksudnya saya ini jenis 'Bat Man' tetapi sekali sekala untuk kita berbual apatah lagi apabila menceburi dunia perniagaan, kita ingin juga bertemu rakan-rakan untuk bertanya mengenai pendapat mengenai perniagaan atau sekurang-kurangnya menghiburkan hati.
Secara bergurau ada juga saya menegur mereka, bukankah ibu bapa kita juga dulu tak menghalang kita untuk sekali sekala keluar hingga lewat malam. Apakah dengan kehadiran yang bernama isteri kita terpaksa menuruti kata-kata mereka.
Dalam etika suami bertanggungjawab, ramai yang menuduh lelaki yang sering keluar adalah lelaki yang tidak bertanggungjawab. Betulkah begitu? Tahukah mereka dengan keluar bertemu rakan-rakan (ahli perniagaan) mereka lebih mudah untuk mendapatkan projek atau sebagainya.
Bila mereka bertanya begitu, kita pula bertanya kepada mereka apakah tanggungjawab mereka kepada keluarga. Untuk mengatakan suami tidak bertanggungjawab adalah seperti ciri-ciri seperti berikut
a) Keluar untuk bersosial dengan teman wanita
b) Keluar bersosial dengan rakan-rakan tanpa memperdulikan jika anak sakit atau barang dapur habis
c) Tidak memberikan nafkah batin
d) Marahkan isteri dengan memukul mereka tanpa ihsan seperti apabila isteri menyuruh mereka sembahyang dan sebagainya (untuk kebaikkan)
Menurut Ustaz saya dahulu, wanita ini mempunyai sifat tamak. Jika boleh kesemuanya ingin menjadi milik mereka. Katanya 'wanita ini jika diberi satu dunia dan jika ada dunia lagi satu, dunia itu juga ingin dimilikinya.'
Isteri kita ini kalau boleh mereka ingin sentiasa berada di celah ketiak kita. Mana boleh beb! Lelaki kalau dikawal begini, pantang 'out-station' dia buat jahat habis-habisan. Dia nak lepas geram. Lagi parah tetapi kerana sifat kurang bijak si isteri sebenarnya akan memakan diri mereka sendiri.
Jadi untuk menguruskan dengan baik rumahtangga kita, sifat ketegasan itu mesti ada. Kita mesti jadi lelaki sejati. Kita mesti berani menegur walaupun sehari dua dia akan bermasam muka dengan kita. Bukankah ada pepatah mengatakan, ' sayangkan isteri tinggal-tinggalkan'.
Apapun dengan perempuan ini kita kena pandai main psikologi. Dalam kepala kita mesti meletakkan mereka ini kurang bijak. Untuk menambat hati mereka, kita mesti membuat satu pengorbanan. Kita kenakan korban 'sesuatu' yang kita tak suka dia buat tapi dia buat.
Contohnya kita tak suka dia buat majlis perkahwinan anak dengan secara mewah. Tapi dia nak buat juga jadi terpaksalah kita biarkan dia buat itupun peruntukkan tersebut mesti melibatkan dia juga. Sebab dia nak buat sangat. Kita jangan halang.
Contohnya isteri saya selalunya hari minggu dia nak keluar pergi 'shopping complex' sewaktu kami tinggal di USJ. Selalunya saya biarkan dia pergi tanpa saya kerana kami sejak lapan tahun dulu sukar untuk membeli belah bersama. Setiap kali kami pergi bersama pasti akan bergaduh. Jadi isteri saya lebih berminat untuk pergi bersendirian atau dengan anak-anak. Sebenarnya ini adalah pilihan yang bijak demi untuk kebaikan bersama.
Bertolak ansur itu perlu tetapi dalam masa yang sama, kita jangan beri peluang untuk mereka mengatasi kita. Jika tidak kita mesti bulatkan hati hanya 'perpisahan' adalah jalan terbaik untuk kita mengembalikan maruah kita sebagai seorang lelaki tetapi perlu diingat bukan menindas isteri kita seperti kreateria yang disebutkan tadi.
Kadang-kadang kita pun rasa sakit hati dengan isteri kita. Bila kita bawa mereka berjalan ke sana sini, mereka seronok bila dapat tidur di hotel bertaraf lima bintang. Tetapi tidak pernah dia nak tahu betapa susahnya kita nak cari duit untuk bawa keluarga bercuti. Kalau bercuti RM 1 ribu mesti ada, jika tidak tidur rumah tumpangan sahaja.
Yang sakit hati, bila kita keluar malam-malam untuk dapatkan projek daripada pegawai tertentu, kebiasaannya ia adalah projek jangka panjang. Mungkin projek tersebut pembayarannya akan diterima lapan bulan selepas itu. Tetapi isteri kita, malam ini kita keluar esok dia ingat kita dah ada banyak duit.
Jadi rumusannya di sini, kita buat apa yang kita rasakan baik untuk keluarga kita. Kalau nak suruh isteri faham, memang mereka tak akan faham. Mereka seolah-olah ingat duit akan jatuh daripada langit. Jadi wahai kaum lelaki, jadilah seperti lelaki sebenar.
Friday, October 19, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment