Benarkah orang kita (Melayu khasnya) mempunyai sifat simpati kepada sesama insan? Dulu bila kerajaan Malaysia menyediakan Tabung Rakyat Palestin, berjuta-juta ringgit dapat dihimpunkan.
Begitu juga tabung membantu rakyat Bosnia. Bukan sahaja bantuan dari segi kewangan dicurahkan tetapi ramai rakyat Bosnia dibawa ke sini samada diberi bantuan tempat tinggal atau mengambil mereka sebagai anak angkat.
Kadang-kadang terfikir, ikhlas atau tidak mereka berbuat demikian. Bukan saya cuba menidakkan kebaikan yang dilakukan tetapi mengapa bantuan itu hanya terpilih sahaja dan tidak kepada semua. Sepatutnya kita membantu kepada yang memerlukan tetapi di era seperti ada pilih kasih kepada siapa yang mereka ingin bantu.
Memang bantuan yang ingin disampaikan kita tiada hak untuk menentukan tetapi bila dilihat sikap orang kita, seperti ada sesuatu disebalik bantuan yang diberikan. Jadi saya menjadi hairan dan adakalanya merasakan bantuan mereka seperti 'menanam baja dan inginkan hasilnya pula'.
Memang kita sendiri simpati dengan apa yang berlaku kepada rakyat Bosnia apabila dibunuh dengan kejam oleh puak Serbia. Sebagai umat Islam sewajarnya kita mengambil tahu tentang nasib saudara kita nun jauh di sana. Sehinggakan begitu ramai keluarga di Malaysia sedia mengambil anak angkat di kalangan anak-anak Bosnia yang kehilangan ibu bapa akibat perang tersebut.
Tapi bagaimana pula dengan nasib rakyat Somalia. Mengapa tidak ada pun rakyat Malaysia yang menawarkan anak-anak orang Islam di sana sebagai anak angkat? Mungkin kerana warna kulit mereka yang agak gelap membuatkan rakyat di negara ini berasa segan untuk memiliki anak angkat dari negara tersebut.
Adakah selama ini kerana melihat anak 'mat saleh' yang 'cute' tersebut nmembuatkan mereka berebut-rebut untuk menerima sebagai ahli dalam keluarga masing-masing. Sehingga ada anak Bosnia yang sudah menjadi pelakon di sini.
Sedangkan dari segi agama, Allah tiada membezakan warna kulit, rupa mahupun kaya atau miskin untuk menghuni syurgaNya. Bukan nak kata pula, kalau Menteri atau orang berada tidak mahu berbuat demikian kita faham jenis mereka tetapi yang hairan tak ada pun Mufti, Ustaz, Imam Masjid dan para ulama yang ingin berbuat demikian. Malu beb...
Begitu juga sewaktu berlaku kes Tsunami suatu ketika dahulu. Sememangnya kita turut bersedih dengan apa yang menimpa umat Islam di Aceh. Sewajarnya kita turut membantu mereka tetapi bagi saya yang lebih penting nasib umat Islam di Malaysia juga mesti diberatkan dahulu.
Kasihan melihat umat islam di Kuala Muda, Kedah. Berapa lama mereka terpaksa menunggu bantuan kerajaan untuk membeli bot mereka? Berapa lama mereka terpaksa menumpang rumah sanak saudara kerana rumah mereka habis dimusnahkan ombak Tsunami?
Perlu diingat bantuan yang ikhlas tidak perlu dikormesialkan. Itu yang dituntut oleh agama. Lakukan dengan seikhlas-ikhlasnya dan kalau boleh bantuan itu biarlah antara kita dan Tuhan sahaja mengetahuinya. Mudah-mudahan bantuan kita itu akan diberkati dan menjadi bekalan untuk di akhirat kelak.
Wednesday, October 24, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment