Pada tahun 1980, ibu saya membawa kami adik beradik berpindah dari Kuala Kangsar ke Seri Manjung. Mendengar khabar tersebut saya adik beradik agak berdukacita kerana terpaksa meninggalkan pekan Kuala Kangsar.
Mungkin kerana sudah serasi dengan suasana di Bukit Chandan. Tinggal dikelilingi kerabat diraja, di mana rumah banglo nenek saya juga mengujakan. Setiap hari pula kami akan menjamu laksa Kuala Kangsar yang berharga 20 sen ketika itu.
Setiap petang seorang lelaki India akan menaiki basikal sambil membunyi hon, untuk memaklumkan kedatangannya. Saya dan adik beradik yang lain bergegas mengambil pinggan untuk diisi laksa Kuala yang berbeza dengan laksa di tempat lain.
Selain aktiviti makan laksa, kadangkala kami hanya berjalan kaki dari Bukit Chandan ke pekan Kuala Kangsar untuk bermain Taman Kanak-Kanak yang hanya berhadapan dengan Sg.Perak. Setiap tahun pula kami akan berbaris sambil mengibarkan bendera Perak sambil menunggu Tuanku (Sultan Idris) melintas dengan menaiki kereta Lange Rover.
Tiba-tiba ingin berpindah ke Sitiawan (pekan utama di daerah Manjung) sungguh menyedihkan. Jika di Kuala Kangsar, rasa lebih selesa kerana ibu turut mengajar di sekolah yang sama. Di Sitiawan kami di hantar ke sekolah A.C.S Sitiawan di mana buat pertama kalinya saya bercampur dengan pelajar berbangsa Cina dan Hindu.
27 tahun lamanya ibu sudah menetap di Seri Manjung. Saban tahun apabila saya mula berhijrah ke ibukota pada tahun 1990, saya melihat perubahan demi perubahan berlaku di Manjung. Jika dulu kami hanya ada Emporium & Oriental untuk membeli belah, kini sudah ada Giant di Manjung.
Jika di Lumut dulu hanya berbangga dengan jam tingginya, kini Lumut hebat dengan pembangunan, malah dikagumi ramai pelancong kerana reka bentuk bangunannya. Lumut berubah menjadi bandar moden.
Manakala Seri Manjung yang terletak di antara pekan Lumut dan Pekan Sitiawan terus maju apabila ia kini menjadi menjadi nadi pusat pentadbiran daerah. Di anggarkan penduduk Manjung bertambah mendadak apabila mencapai jumlah penduduk sekitar 350 ribu orang.
Jika dahulu bandar antara Sitiawan dan Lumut dikelilingi ladang getah, kini deretan kedai bersambung di antara bandar Seri Manjung dan Sitiawan yang jaraknya sekitar 3 km. Pada dasarnya penduduk Manjung separuh daripadanya adalah orang luar yang datang berhijrah ke sini.
Dianggar sekitar 50 ribu penduduk adalah bekas anggota Tentera laut Di Raja Malaysia. Saya masih ingat di era awal 80 an dahulu, hampir kebanyakan kereta-kereta di sekitar Bandar Seri Manjung mempunyai plat J (Johor). Mana tidaknya puluhan ribu anggota TLDM telah dihantar ke sini, di mana ia menjadi pengkalan utama Angkatan Tentera Laut Diraja Malaysia di negara ini.
Tarikan yang kuat membuatkan mereka yang pada awalnya berkhidmat di sini (kebanyakan berasal dari Johor) mengambil keputusan menetap terus untuk memulakan kehidupan baru di Manjung.
Akhirnya selepas merantau 17 tahun dan ditugaskan ke beberapa negeri, saya akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke Seri Manjung. Walaupun saya kini menetap di Venice tetapi tiada bezanya dengan Seri Manjung. Sitiawan hingga ke Lumut tetap Manjung!
Baru-baru saya dalam perjalanan ke Taiping bersama keluarga singgah sebentar ke pekan Kuala Kangsar kerana terlalu mengidam laksa Kuala. Saya tiba di bandar Kuala lebih kurang jam 8.00 malam. Bandar yang tak kurang besar ini sunyi. Kesemua kedai menjual laksa tutup.
Hanya satu tempat Medan Selera sahaja yang dibuka. Yang lainnya seperti bandar ini tidak berpenghuni. Saya melihat kembali jam di tangan, jelas menunjukkan jam 8.00 malam tetapi malangnya tiada laksa Kuala. Geram betul...sebab teringin, tapi akhirnya selepas puas mencari saya berjumpa dengan sebuah gerai, alhamdulillah ada jual laksa. Empat pinggan saya jamah laksa Kuala.
Untuk pengetahuan anda, saya jika menjamah laksa Kuala hanya memakan laksa nya sahaja tanpa menghirup terlalu banyak kuah. Ini kerana kuah laksa Kuala agak cair. Ia tidak seperti laksa Penang yang dicampur dengan otak udang, nenas dan sebagainya.
Pernah saya membawa rakan saya dari Kuala Lumpur dalam perjalanan pulang dari 'out-station'. Saya paksa dia masuk ke susur keluar ke Kuala Kangsar dari Lebuh raya. Saya kata dia mesti cuba laksa Kuala. Mengamuk dia apabila selesai menjamah laksa tersebut. Katanya tak sedap langsung. Memang saya akui kepada mereka yang sudah terdidik dengan laksa Kuala Lumpur, memang takkan suka laksa Kuala. Jadi kepada kita yang pernah tinggal di Kuala Kangsar, tak perlu promosikan laksa tersebut kepada rakan-rakan kita dari luar.
Macam kitalah, bila dihidangkan laksa Kelantan, terkedu kita melihat kuahnya. Akhirnya di hati saya sewaktu perjalanan ke Taiping, ibu saya telah membuat keputusan yang tepat. Saya anggap ibu saya sama 'level' dengan Tun Dr Mahathir. Ada Wawasan. Dan pastinya saya tidak menangis lagi meninggalkan pekan Kuala Kangsar.
Sunday, October 21, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment