Saturday, October 13, 2007

6.4 JUTA DAVID TEO BOLEH DICABAR

Bila pengusaha filem Metrowealth mencapai jualan tiket mencecah 6.4 juta menerusi filem 'Jangan Pandang Belakang', ramai yang berdengki dan ramai juga yang tidak mempercayai kata-kata dari tauke cina ini. Tak ramai yang mempercayai dengan jumlah kutipan tersebut.

Terus terang saya katakan, sewaktu saya menjadi editor hiburan suatu ketika dahulu, saya adalah teman terapat dengannya. Sampai Rosyam Nor kata muka saya pun dah macam muka David Teo. Rapat saya dengannya sehingga dalam beberapa perkara peribadinya juga saya adalah individu yang lebih mengetahuinya. Bayangkan ketika Metrowealth membawa Erra dan Yusry 'honeymoon', saya adalah satu-satunya pihak media yang mengikuti rombongan tersebut ke London dan Sweden.

Bila kami terlalu rapat, muncullah kata-kata kononnya saya makan rasuah dengan David. Mana tidaknya hampir saban malam kami akan keluar bersama. Saya jawab betul, dia rasuah saya minum teh tarik hari-hari. Kalau itu dikatakan rasuah...susahlah nak hidup dekat Malaysia ini. Apapun di sini biarlah saya menceritakan serba sedikit mengenai David Teo dan hasil kejayaannya. Bagaimanapun ia tidak terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum.

Pertemuan pertama kami bermula sewaktu David membuat filem 'Mendam Berahi' di kota Manila. Saya ketika itu masih bergelar wartawan. Masa itu saya tidak memfokuskan penulisan kepada dunia filem tetapi lebih kepada muzik. Bagaimanapun kerana saya wartawan paling kanan di situ, saya telah diarahkan oleh Emma untuk ke Filipina.

Terung terang saya katakan, saya sendiri tidak mengenali wajah David Teo sehinggalah saya tiba di Filipina bersama wartawan Utusan Malaysia dan Harian Metro. Sampai di sana, David terus memperkenalkan dirinya dan dia tanya saya, 'u tak kenal I'. Saya hanya mengelengkan kepala. Dia sedikit kecewa kerana wartawan Harian Metro dan Utusan ketika itu begitu mesra dengannya.

Pada suatu hari di dalam van, saya bertanya dia mengapa memilih Z.Lokman sebagai pengarah, dia kembali bertanya kepada saya ' u bagitahu saya siapa pengarah yang terbaik'. Lalu dia menjawab sendiri, 'bagi saya pengarah yang baik adalah pengarah yang dapat menjimatkan kos'. Maksudnya di sini David menceburi industri atas dasar perniagaan dan bukan seni.

Cuma prinsipnya saya hormati kerana dia kata, ' bila saya ceburi sesuatu bidang, saya takkan tengok ke belakang'. David memang seorang ahli perniagaan yang bijak dalam erti kata sebenarnya. PRnya belum ada mana-mana penerbit mampu melakukannya. Dia mampu keluar saban malam dengan wartawan untuk berborak. Nadanya ketika itu tidaklah sekuat sekarang kerana dia tahu dia masih baru tetapi David menghabiskan masa dan wang untuk belanja wartawan makan. Di situ dia berjaya membeli jiwa wartawan kerana dia pandai mengambil hati dengan berkongsi pengalaman dan ingin mendengar cerita daripada wartawan.

Dia mengajar saya mengapa dia memilih Z. Lokman sebagai pengarah. Katanya Z. Lokman buat filem kos sekitar RM 250 ribu sahaja atau paling tinggi RM 350 ribu tidak termasuk kos pemasaran.

Jumlah tersebut dikira kos penerbitan paling selamat kerana kemungkinan pihak pemilik VCD akan membeli lesen edaran filem tersebut dengan bayaran RM 150 ribu, stesen tv pula akan membeli dengan kos RM 100 ribu. Jadi dia hanya mengharap kutipan tiket mampu untuk mendapat keuntungan atau pun sekurang-kurangnya balik modal.

Bercerita mengenai filem 'Jangan Pandang Belakang', mengapa David Teo mampu berbuat demikian? Jawapannya sangat mudah, selain dibantu oleh jalan cerita dan promosi, faktor yang sebenarnya banyak terletak kerana David mempunyai rangkaian pawagam sendiri. Di negeri Kedah dan Sarawak dikuasai olehnya sendiri. Begitu juga di Kajang.

Jadi apabila dia melahirkan filem dan menyangkan di pawagam sendiri dia mempunyai 'advantage' untuk menayangkan filemnya lebih daripad filem luar yang turut bersaing dengannya. Perlu diingat filem wajib tayang hanyalah termaktub untuk filem tempatan sahaja tetapi filem barat terpulang kepada pemilik pawagam.

Di sinilah kelebihan David sehingga dia mampu mengalah kutipan filem Sembilu arahan Datuk Yusoff Haslam. Memang sukar untuk mengatasi kutipan tersebut dan bagi saya untuk menyalahkan David, kita tidak boleh kerana dia lebih bijak dari produser yang lain. Pemikirannya lebih 'advanced' walaupun ada produser Melayu sebenarnya mampu untuk memiliki pawagam sendiri.

Lihat seperti David, ketika pengarahnya menggunakan kereta E Class terbaru dia masih pakai E Class 200. Ketika ramai produser bina rumah banglo, David hanya tinggal di rumah kembar dua di Kajang. Hidupnya agak simple dari yang lain.

Hanya boleh dicabar kutipan tiketnya, hanya jika ada produser filem mampu memiliki pawagam sendiri. Contohnya ada beberapa bandar seperti Kuala Terengganu, Kota Bharu, Kemaman dan Manjung berpontensi besar untuk membina panggung. Saya dapati di daerah Manjung adalah antara daerah yang begitu pesat membangun. Penduduknya kini sekitar 370 ribu tetapi panggung yang ada adalah berkonsepkan lama.

Anak-anak remaja sekarang gemar menonton wayang di Cineplex . Tak main lagi panggung wayang 'everyone can smoke'. Citarasa ini mesti kita ikuti, barulah kita boleh berjaya seperti David Teo. Bagi saya yang kini menceburi dunia perniagaan sepenuh masa, kejayaaan seseorang bukan dipandang dengan perasaan iri hati tetapi dilihat bagaimana dia boleh kita boleh.

Walaupun hubungan saya bersama David ketika ini agak dingin kerana kegagalan untuk kami bersama-sama membina Restoran Lemon miliknya tetapi saya meletakkan dia sebagai antara ikon dalam dunia perniagaan. Banyak ilmu dunia perniagaan ini yang saya pelajari daripadanya.
Bagi saya dengannya, kami boleh berkawan tetapi tidak boleh berkerjasama.

Jadi saya menolak pelawaannya untuk bersama-sama membina Restoran Lemon di mana saya sudah membina Restoran Cina di Kuala Terengganu. Saya lakukan demi menjaga hubungan dengannya.

Selepas ini saya akan menceritakan mengenai dunia industri seni tanahair kita selain beberapa isu yang lain. Jumpa lagi.

Wassalam, jumpa lagi.

No comments: