Lama juga saya tidak menulis di ruangan ini kerana urusan perniagaan di Kuala Lumpur. Dalam masa yang sama saya mengambil kesempatan untuk bertemu dengan rakan-rakan lama di media untuk bertanya khabar selain menghadirkan diri di rumah terbuka rakan-rakan di sana.
Saya mengambil keputusan untuk bermalam di rumah seorang rakan yang tinggal di sebuah kondominium di Damansara. Rakan saya ini sudah berkahwin tetapi isterinya bekerja di utara tanah air. Dia saja yang akan berulang seminggu sekali untuk melihat keluarganya di Sg.Petani.
Melepak dengan kawan ini selain dapat menjimatkan perbelanjaan menyewa hotel, kita rasa terhibur apatah lagi saya sudah hampir dua tahun meninggalkan Kuala Lumpur sejak berhijrah ke kota metropolitan ini pada tahun 1990. Selepas dihantar ke pantai timur kerana tugasan saya terus memulakan perniagaan sendiri di Perak.
Rakan-rakan sering bertanya, tak mahu kembali ke Kuala Lumpur, jawapan saya TIDAK! Saya kata, cukuplah 15 tahun saya mengharungi kehidupan terkejar-kejar di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur memang menghiburkan tetapi di usia begini rasanya tidak lagi.
Sebut sahaja nama-nama pusat hiburan yang saya tidak pernah masuk. Mungkin ada juga di antara anda tidak pernah mengunjungi pusat-pusat hiburan terkenal ketika itu seperti Factory Disco, Eleven LA, Face 2, Base 2 dan banyak lagi sehinggalah kemunculan Zouk. Jadi dalam maksud lain zaman 'enjoy' sudah berakhir atau dah tak hairan dengan semua itu.
Sekali sekala tu boleh layan la tetapi kita mesti akui usia kita semakin meningkat. Tenaga pun dah tak berapa sangat. Kalau dulu apa jenis sukan selalunya mewakili sekolah, sekarang rasanya untuk bermain bola sepak tidak lagi walaupun saya pernah bermain untuk daerah.
Sewaktu di sana, saya terkejut apabila rakan-rakan lama mengajak untuk bermain go-kart. Mereka rupanya masih menyimpan dendam untuk menewaskan saya selepas dua tahun tahun meninggalkan mereka.
Mahu tidak mahu terpaksa melayan permintaan mereka untuk berentap di gelanggang go-kart di Shah Alam. Seperti biasa, saya hanya boleh bermula di petak belakang sekali. Pun begitu dengan restuNya, berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Mungkin agaknya sudah lama tidak exercise, tangan saya terseliuh. Kata orang kampung saya 'terpeleuk'. Pun begitu saya dipaksa untuk berlumba lagi sehingga menyebabkan tangan sebelah kiri tidak mampu diangkat.
Akhirnya saya ke klinik dan mendapat suntikan. Nasib baik kereta automatic gear kerana saya hanya mampu menggunakan sebelah tangan sahaja apabila memandu. Itulah juga antara faktor mengapa saya terpaksa menunggu lama untuk kembali menulis.
Sebenarnya waktu saya ke Kuala Lumpur tidak kena pada masanya. Kuala Lumpur ketika itu sesak dengan Penghimpunan Agung Umno dan juga pejuang Reformasi yang datang dari seluruh negara. Jadi perjalanan saya dari satu tempat ke tempat yang lain terganggu dengan kesesakan lalu lintas yang agak melampau. Pening kepala dan inilah faktor mengapa saya cukup benci tinggal di Kuala Lumpur.
Pelbagai cara rakan-rakan saya di Kuala Lumpur berfikir. Ada yang jenis suka berjenaka, ada yang suka pada sukan bola sepak EPL...apa lagi jika bukan penyokong MU, ada yang minat pada gosip, ada yang suka mengumpat dan ada yang suka cerita politik.
Seorang ini adalah bekas penulis ruangan politik. Kebiasaan bila berjumpa dengan saya dia akan bercerita mengenai politik. Kami berbicara mengenai cita-cita sesetengah pihak untuk menukarkan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.
Perlu atau tidak kita menukarnya? Baiklah saya mengajak anda untuk berfikir mengenai isu tersebut. Pertama adakah selama ini bahasa Melayu ini menjadi ancaman kepada perpaduan bangsa di negara ini. Itu yang penting kerana jika masyarakat di sesebuah negara tidak bersatu, negara akan musnah.
Bahasa Melayu sejak sekian lamanya sudah menjadi bahasa rasmi di negara ini. Memang ia bahasa orang Melayu tetapi cuba kita bandingkan dengan negara-negara luar. Negara China sendiri contohnya, tidak pernah mereka ingin menukar bahasa di negara tersebut kepada bahasa China sedang rakyatnya mempunyai pelbagai bahasa seperti bahasa ada bahasa mandarin, hokkien, wu, hakka dan bermacam-macam lagi.
Begitu juga orang Australia, Kanada dan Amerika bila ditanya apakah bahasa mereka, mereka tetap mengatakan 'English'. Ke mana sahaja negara-negara yang mereka tujui, pasti mereka akan bertanya 'do you speak English', tak pernah kita dengar 'do you speak American'.
Cuma yang membezakan antara Amerika, Austaralia dan Kanada dengan British ialah loghat sahaja. Begitu juga bahasa Melayu. Sepatutnya cukup kita bertanya kamu boleh cakap Melayu dan bukan kamu boleh bercakap bahasa Melayu.
Jika bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, apa jadi dengan bahasa Melayu yang dipakai oleh orang Brunei dan orang Melayu Singapura. Adakah mereka akan mengatakan bahasa Singapura atau bahasa Brunei.
Baik kita bertanya sendiri pula bahasa Melayu cara orang Kelantan, orang Perak, cara orang Kedah dan beberapa negeri lain. Mungkin orang Johor sahaja yang boleh dianggap menggunakan bahasa Malaysia. Hanya loghat sahaja yang membezakan antara kita, jadi di mana efisyen untuk pihak-pihak terbabit mencadangkan untuk mengubah bahasa Melayu atau cakap Melayu ini kepada bahasa Malaysia.
Cukup dalam pembejalaran kita, kita menggunakan subjek bahasa Malaysia sebagai terjemahan kepada pembelajaran bahasa Melayu. Kita lihat sahaja di Indonesia, kerajaan mereka cuba menekankan mengenai bahasa Indonesia atau bangsa Indonesia tetapi sehingga kini orangnya sendiri bila bertemu rakan senegara , 'itu orang Jawa Pak', itu orang Medan atau itu orang Bugis.
Sejarah tetap sejarah dan tidak boleh diubah. Sejarah memberitahu kita adalah serumpun Melayu. Melayu tetap Melayu dan janganlah cuba dihapuskan nama Melayu itu sendiri, cukuplah Kah Pengenalan kita sudah tidak tertera nama Melayu.
Bukan apa, nama anak-anak sekarang pun dah tak macam Melayu takut kita tak tahu bangsa apa la pula budak ini. Akhir kata kepada mereka yang bercita-cita untuk menukarkan bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia, jangan buang masa atau jangan jadi bodoh...banyak perkara lain yang patut difikirkan oleh mereka.
Wednesday, November 14, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment